KUALA LUMPUR – Seorang anggota tentera wanita dan tiga rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menipu dalam pelaburan minyak wangi tidak wujud, dua bulan lalu.
Anggota tentera, Puteri Alisa Nabila Muhammad Razali, 23, yang digantung tugas bersama tiga pekerja kedai minyak wangi, Mohammad Nazirul Azri Fairuz, 29, Mariam Najwa Mahadi, 27, serta Khor Leong Weong, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Faezahnoor Hassan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menipu anggota tentera, Muhammad Adam Haikal Abdul Rahman, 20, dengan memperdayakannya untuk menyertai pelaburan minyak wangi yang tidak wujud.
Ia mendorong mangsa memindahkan wang secara dalam talian berjumlah RM38,400 ke akaun bank milik Mariam Najwa sedangkan mangsa tidak akan memindahkan wang tersebut, sekiranya tidak diperdayakan, di sebuah restoran di Sentul pada 2 Mei.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan Puteri Alisa Nabila diberi ikat jamin RM50,000 manakala setiap tertuduh yang lain sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Menurutnya, jaminan yang tinggi terhadap tertuduh pertama itu dibuat kerana mengambil kira dia merupakan seorang penjawat awam, yang berkemungkinan akan melarikan diri kerana dimaklumkan dia telah bolos daripada tugas lebih setahun.
"Mahkamah juga boleh menetapkan syarat tambahan supaya semua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Muhammad Naqib Aiman Mohd Faizal yang mewakili semua tertuduh, merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung keluarga.
“Mereka tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana mempunyai keluarga dan alamat tetap di sini.
“Mereka juga sentiasa memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan," katanya.