Manggis tetap laris, jualan cecah 100kg sehari

Iklan
Khairul Azhar melayan pelanggan yang sedang memilih manggis di gerai buah miliknya di Jalan Sungai Lembing di sini pada Jumaat.

KUANTAN – Manggis tetap menjadi antara buah yang mendapat sambutan sepanjang musim buah di sekitar daerah ini walaupun durian terus mendominasi pasaran.

Peniaga buah, Khairul Azhar Mohamad Yusof, 41, berkata, jualan manggis di gerainya boleh mencecah sehingga 100 kilogram (kg) sehari.

Iklan
Iklan

"Kalau ikutkan, manggis antara buah yang mendapat permintaan selain rambutan pada ketika ini.

"Kalau hari biasa saya boleh jual sekitar 80 hingga 100kg, tetapi kalau hujung minggu, jualan manggis boleh melonjak melebihi 100kg," katanya ketika ditemui di gerainya di Jalan Sungai Lembing di sini pada Jumaat.

Iklan

Bapa kepada tiga anak itu berkata, bekalan manggis diperoleh daripada pemborong di Kedah dan Johor memandangkan bekalan buah dari Pahang ketika ini masih terhad.

Dia mengakui mengutamakan buah tempatan berbanding buah import dari Thailand kerana faktor harga yang lebih tinggi.

Iklan

"Kalau ada buah tempatan, saya jual buah tempatan sebab lebih murah, jika buah Thailand lebih mahal.

"Macam musim kali ini saya jual manggis tiga kilogram RM20, manakala rambutan dua kilogram RM10," katanya.

Khairul Azhar berkata, bekalan buah diterima setiap hari bagi memastikan pelanggan mendapat buah dalam keadaan segar.

Khairul Azhar mengakui manggis masih mendapat permintaan daripada pengguna.

Dia yang telah berniaga lebih 20 tahun memberitahu, harga manggis dan rambutan pada musim kali ini lebih rendah berbanding tahun lalu sekitar RM12.

Menurutnya, keadaan itu berpunca daripada musim buah yang berlaku serentak di beberapa negeri termasuk Johor, Pahang, Perak, Terengganu dan Kelantan, sekali gus meningkatkan bekalan di pasaran.

"Biasanya durian dan manggis di Johor keluar dahulu, tempat lain belum ada lagi. Tetapi tahun ini hampir semua negeri mengeluarkan hasil pada masa yang sama, sebab itu harga jadi lebih murah," ujarnya.

Seorang pelanggan, Nur Aina Zulkifli, 29, berkata, dia memilih untuk membeli manggis kerana harganya lebih berpatutan selain mudah didapati ketika musim buah.