KUANTAN – Kerajaan Pahang terus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai antara destinasi pelancongan utama negara menerusi penganjuran 'PATA Malaysia Inter-State Tourism Networking Forum and Pahang Domestic Travel Mart 2026' pada Isnin.
Program berkenaan menjadi platform untuk memperluas jaringan kerjasama antara pemain industri pelancongan, agensi kerajaan, persatuan pelancongan serta penggiat industri dari pelbagai negeri.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, sektor pelancongan terus berkembang secara mampan dan berdaya saing, khususnya dalam mendepani perubahan trend serta keperluan industri pelancongan semasa.
Justeru menurutnya, penganjuran forum dan program pertukaran padanan perniagaan (Business to Business) seumpama ini amat penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara negeri, selain menggalakkan perkongsian kepakaran, pertukaran idea dan pembangunan produk pelancongan yang lebih inovatif.
“Kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri dan rakan strategik merupakan antara faktor utama dalam memastikan industri pelancongan terus berkembang.
"Melalui platform seperti ini, kita dapat memperluas peluang perniagaan, memperkenalkan produk pelancongan baharu serta meningkatkan daya tarikan Pahang dalam pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya selepas merasmikan program itu di sini pada Isnin.
Yu Man menegaskan Pahang mempunyai kepelbagaian produk pelancongan merangkumi destinasi tanah tinggi, pantai dan pulau, ekopelancongan, warisan, kebudayaan serta pelancongan berasaskan komuniti yang mampu memenuhi pelbagai segmen pasaran.
Jelasnya, bagi 2025, Pahang merekodkan kehadiran 15.28 juta pelancong dengan anggaran perbelanjaan pelancongan berjumlah RM13.72 bilion.
"Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang menetapkan sasaran kedatangan 15.5 juta pelancong bagi 2026.
"Pada masa sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menyuarakan hasrat agar negeri ini berusaha mencapai kedatangan sehingga 17 juta pelancong," katanya.
Dalam perkembangan itu, Yu Man memberitahu penganjuran 'Pahang Domestic Travel Mart 2026' juga dilihat sebagai langkah proaktif untuk merancakkan sektor pelancongan domestik melalui penglibatan pengusaha hotel, agensi pelancongan, pengendali produk dan penyedia perkhidmatan pelancongan.
"Kerajaan Negeri Pahang yakin bahawa kerjasama berterusan bersama PATA Malaysia Chapter dan semua pihak berkepentingan mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada pemain industri, usahawan pelancongan serta komuniti setempat," katanya.