SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menggesa Bangsa Johor menambah jumlah wakil parti itu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai usaha mewujudkan keseimbangan kuasa dan memperkukuh peranan semak dan imbang.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, PN bertanding di 33 daripada 56 kerusi DUN Johor dan memerlukan sekurang-kurangnya 29 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.
Beliau berkata, berdasarkan tinjauan Vodus Research yang dijalankan antara 15 hingga 29 Jun lalu, Barisan Nasional (BN) sedang mendahului di 20 kerusi DUN, manakala 31 kerusi lagi masih terbuka, termasuk 14 kerusi yang berada dalam persaingan sengit.
"Walaupun laluan PN untuk membentuk kerajaan bukan mudah, peluang masih ada kerana 31 peratus pengundi masih merupakan 'soft voters'.
"Bagi pengundi yang enggan menyatakan pilihan, 63 peratus masih boleh berubah pendirian, manakala 85 peratus pengundi yang belum membuat keputusan masih belum memilih parti. Ini bermakna keputusan sebenar masih jauh daripada muktamad," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tun Faisal berkata, Bangsa Johor, terutama di luar bandar, masih berdepan pelbagai isu yang menurut beliau belum diselesaikan, termasuk masalah bekalan air yang berlarutan hingga berminggu-minggu, banjir, tanah peneroka Felda, penjanaan ekonomi dan pekerjaan anak muda serta pembangunan yang tidak seimbang antara luar bandar dan bandar.
Beliau turut mendakwa, Bangsa Johor berdepan tekanan akibat beberapa dasar kerajaan Persekutuan, termasuk kos sara hidup yang tinggi, kos operasi perniagaan yang meningkat, penarikan subsidi rakyat secara besar-besaran, kenaikan kadar dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), selain peningkatan beban pematuhan cukai serta pelaksanaan e-Invois yang memberi cabaran kepada sebahagian perniagaan.
Menurut beliau, DUN Johor dan kerajaan negeri tidak boleh dibiarkan terlalu selesa sehingga agenda perubahan dalam negeri serta pembelaan terhadap rakyat tergendala.
"Siapa yang akan jadi pendesak jika suara kerajaan negeri sama dengan suara kerajaan pusat, dan parti yang mentadbir kerajaan negeri juga adalah sama dengan yang mentadbir kerajaan pusat," soalnya.
Beliau berkata, Selangor boleh dijadikan contoh apabila PN yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak dalam DUN negeri itu berjaya memainkan peranan semak dan imbang secara konsisten terhadap Menteri Besar dan kerajaan negeri.
Katanya, PN menjadi suara alternatif dalam DUN Selangor dengan mengangkat isu rakyat, mengkritik dasar yang dianggap tidak memihak kepada rakyat serta memberi tekanan politik kepada kerajaan pusat.
Tun Faisal berkata, model PN di Selangor wajar dipertimbangkan oleh Bangsa Johor memandangkan masih terdapat ruang untuk perubahan berdasarkan dapatan tinjauan yang sama.
Beliau berkata, 31 peratus pengundi masih boleh mengubah pendirian, manakala 63 peratus daripada pengundi yang enggan menyatakan pilihan masih boleh berubah pendirian dan 85 peratus daripada pengundi yang belum membuat keputusan masih belum memilih parti.
Selain itu, beliau berkata, PN mempunyai satu kelebihan apabila 78 peratus penyokongnya yakin dengan pilihan mereka, berbanding BN (74 peratus) dan Pakatan Harapan (PH) (72 peratus).
Mengenai calon, beliau berkata, 16 calon Bersatu merupakan gabungan calon berpengalaman dan pemimpin muda yang mempunyai latar belakang pendidikan serta kepimpinan yang cemerlang.
Pada masa sama, beliau mendakwa, calon BN tidak dipilih berdasarkan merit, sebaliknya menurut Datuk Dr Puad Zarkashi, berdasarkan hubungan kroni, rakan bermain golf, arahan serta usaha mengitar semula pemimpin yang telah kalah dan ditolak, manakala calon PH pula didakwanya majoritinya masih belum cukup berpengalaman.
Sehubungan itu, Tun Faisal berkata, Bangsa Johor perlu melihat pilihan raya ini bukan sekadar memilih kerajaan negeri, sebaliknya menentukan keseimbangan kuasa dalam DUN.
"Jika Bangsa Johor benar-benar mahukan perubahan, maka ikutilah model Selangor, tambah jumlah suara PN dalam DUN Johor," katanya.