PRN Johor: Isu penyelenggaraan jalan perlu komitmen semua pihak - Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad Maslan ketika temu bual di Pusat Operasi PRN Bernama sempena kempen Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 hari ini. - Foto: Bernama

JOHOR BAHRU - Isu penyelenggaraan jalan raya menuntut komitmen dan perhatian serius daripada semua pihak melibatkan pelbagai agensi serta peringkat pentadbiran, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya sentiasa menyegerakan sebarang kerja bagi menyelenggara jalan raya yang tidak sempurna.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kelancaran proses penyelenggaraan tersebut.

"Kalau (sesuatu jalan) itu tidak sempurna, bererti ADUN, Ahli Parlimen dan agensi di situ yang perlu menyempurnakannya.

Iklan

"Di Johor ada 10 JKR daerah, saya sudah pergi (semua) 100 peratus (pejabat JKR) dan mendapatkan taklimat pembangunan. Saya menggesa mereka supaya menyegerakan kalau ada jalan yang tidak sempurna,” katanya dalam sesi temu bual bersama Bernama di sini hari ini.

Ahmad mengulas tindakan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik yang baru-baru ini memandu sendiri kenderaan di Jalan Tebrau dari Kampung Melayu Majidi ke Ulu Tiram bagi merasai keadaan jalan raya di kawasan berkenaan.

Iklan

Pada 29 Jun lepas, Maszlee memandu kenderaan jenis Perodua Myvi dari Kampung Melayu Majidi ke Ulu Tiram bagi meninjau kualiti jalan raya dan keadaan trafik di laluan berkenaan selepas menerima banyak rintihan penduduk di media sosial.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkongsi pengalaman mencabar apabila kenderaannya 'melambung' dan terhentak di beberapa lokasi berikutan permukaan jalan yang beralun, selain terpaksa berdepan kesesakan serius pada waktu puncak.

Mengenai mekanisme penyaluran dana, Ahmad berkata setiap peruntukan penyelenggaraan jalan raya, lebuh raya atau jambatan di bawah Kerajaan Persekutuan perlu melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Katanya, proses itu penting bagi membolehkan setiap permohonan dinilai mengikut tahap keutamaan sebelum diluluskan. - Bernama