RUU Jenayah Siber: Kuasa penguat kuasa terlalu besar, mesti dikawal - Pemuda Pas

Iklan
Afnan Hamimi berkata, rakyat mesti berasa selamat di bawah undang-undang ini manakala penjenayah pula perlu berasa takut untuk melakukan kesalahan.

SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden membangkitkan isu mengenai kuasa terlalu besar yang diberikan kepada agensi penguat kuasa bagi pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026.

Afnan Hamimi menerusi hantaran di Facebook berkata, tidak dinafikan pelaksanaan RUU itu baik, namun ia harus dikawal supaya tidak disalahgunakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rakyat mesti berasa selamat di bawah undang-undang ini manakala penjenayah pula perlu berasa takut untuk melakukan kesalahan.

"Bagaimanapun, saya bimbang undang-undang ini nanti disalah guna. Rakyat menjadi takut untuk bersuara sedangkan mereka bersuara berdasarkan fakta," katanya.

Iklan

Sebelum ini, Dewan Rakyat meluluskan RUU Jenayah Siber 2026 yang antara lain memperuntukkan kesalahan dan hukuman berkaitan pemalsuan digital (deepfake) serta penyebaran imej intim digital yang dimanipulasi melalui sistem komputer kompleks.

RUU yang mengandungi 61 fasal berkaitan jenayah siber itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan oleh 48 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Iklan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, RUU berkenaan tidak memberi kuasa mutlak kepada pihak berkuasa atau mengatasi mana-mana perundangan lain termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972, sebaliknya tertakluk kepada mekanisme semak dan imbang serta prosedur perundangan yang ketat bagi melindungi hak asasi dan privasi rakyat.

Afnan Hamimi turut mengesyorkan supaya penangkapan hanya dibuat terhadap penjenayah, bukan individu yang memberi pandangan secara berfakta.

Jelasnya, walaupun seseorang itu melakukan kesalahan jenayah, ia tidak bermakna data peribadi mereka boleh disebarkan ataupun diakses oleh mana-mana pihak sesuka hati.

"Jadi, siapa pegawai yang boleh akses, berapa lama dia boleh akses, bila data itu akan dipadam dan diserahkan semula?

"Kita juga nak memastikan RUU ini tidak menghukum pihak yang membantu kerajaan. Contohnya pakar-pakar IT yang mengakses sistem keselamatan agensi kerajaan dan mendapati ada kelemahan, kemudian melaporkan kepada pihak berkuasa. Adakah dia itu dianggap penjenayah?" ujarnya.

Beliau berpendapat mereka sepatutnya dilindungi kerana membantu kerajaan menambah baik sistem keselamatan data negara.

"Jadi, rumusan daripada apa yang saya sebutkan tadi ialah seperti polis, ada pistol dan ada sarung. Kenapa ada sarung? Untuk mengawal pistol itu supaya tidak disalahgunakan," katanya.