Permohonan ketepi penghakiman ingkar dalam kes saman fitnah Saifuddin ditolak

Iklan
Saifuddin

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Alor Setar telah menolak permohonan seorang pengguna media sosial untuk mengetepikan penghakiman ingkar dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terhadapnya berhubung isu politik negeri Kedah dan kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA FC).

Dalam penghakiman bertulis yang diperoleh media pada Khamis, Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee menolak permohonan Muhammad Zubair Ismail atas alasan defendan gagal memfailkan pembelaan bagi membolehkan saman itu diteruskan dengan perbicaraan.

Iklan
Iklan

"Oleh kerana defendan gagal mengemukakan pembelaan yang meyakinkan untuk dibicarakan selepas mengabaikan mekanisme penyampaian ganti, mahkamah menolak permohonan ini dan defendan diperintahkan membayar kos RM8,000 kepada plaintif,” katanya.

Mohammad Johan, yang membuat keputusan itu pada 30 Jun lepas, berkata, Muhammad Zubair tidak melampirkan draf pernyataan pembelaan bersama dengan permohonannya sekali gus gagal menunjukkan secara jelas asas pembelaan yang ingin dikemukakan sekiranya penghakiman diketepikan.

Iklan

Beliau berkata, mahkamah turut mendapati afidavit defendan mengandungi percanggahan apabila Muhammad Zubair mendakwa kenyataan yang diterbitkan adalah benar namun pada masa sama, tidak dapat mengingati atau mengesahkan kandungan hantaran kerana peranti miliknya dirampas oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia selain akaun media sosial beliau disekat.

Hakim itu berkata, mahkamah berpendapat seseorang tidak boleh mendakwa sesuatu kenyataan adalah benar jika pada masa sama menyatakan tidak mengetahui kandungan sebenar yang diterbitkan.

Iklan

"Defendan berhujah bahawa beliau tidak pernah menyebut nama rasmi 'Saifuddin Nasution' secara terang-terangan namun mahkamah mendapati poster di Facebook yang berunsur fitnah itu memaparkan gambar wajah plaintif dengan jelas selain penggunaan gelaran 'Pudin' atau 'Pudin Pokka' di dalam beberapa video yang dikaitkan dengan konteks politik Kedah.

"Mahkamah berpendapat pengecaman secara visual dan penggunaan gelaran yang difahami umum sudah memadai untuk mengenal pasti plaintif bagi tujuan tindakan fitnah,” katanya.

Saman itu difailkan berikutan beberapa hantaran dan video berunsur fitnah yang dimuat naik di Facebook dan TikTok pada Mac 2025 berhubung dakwaan mengenai salah laku plaintif dalam politik negeri dan KDA FC.

Mohammad Johan berkata, peguam plaintif telah cuba membuat serahan pernyataan tuntutan secara kendiri kepada defendan sebanyak dua kali, iaitu pada 15 Mei 2025 dan 25 Jun 2025 namun gagal.

Beliau berkata, plaintif kemudian memohon kepada mahkamah dan dibenarkan untuk menyerahkan dokumen melalui penyiaran notis di akhbar serta menampalnya di papan kenyataan Mahkamah Tinggi.

"Oleh kerana defendan masih tidak memberikan maklum balas atau hadir ke mahkamah, penghakiman ingkar kehadiran terhadapnya telah direkodkan oleh mahkamah pada 8 Disember 2025.

"Pada 19 Mac 2026, defendan mendakwa beliau baru mengetahui mengenai penghakiman itu melalui laporan akhbar dan pada April 2026, beliau memfailkan permohonan untuk mengetepikan penghakiman ingkar dan mendakwa tidak pernah menerima dokumen mahkamah itu selain mendakwa hantaran media sosialnya adalah benar atau suatu komen yang adil,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk S N Nair yang mewakili Saifuddin berkata, dengan keputusan itu, penghakiman ingkar kehadiran yang telah direkodkan terhadap defendan pada 8 Disember kekal sah, berkuat kuasa dan mengikat pihak-pihak.

"Kes ini akan diteruskan ke peringkat taksiran ganti rugi, bagi membolehkan mahkamah menentukan jumlah ganti rugi yang layak diberikan kepada plaintif selaras dengan penghakiman ingkar kehadiran yang telah diperoleh," katanya ketika dihubungi Bernama.

Muhammad Zubair diwakili peguam Ibrahim Ismail. - Bernama