LITERASI perlembagaan menjurus kepada kemampuan individu menterjemahkan, dan mempraktikkan prinsip-prinsip utama dan Perkara-perkara Mutlak yang termaktub di dalam Perlembagaan. Ia bukan setakat mengetahui secara asas ataupun literal, tetapi menekankan aspek penghayatan terhadap apa yang terangkum di dalamnya yang mencakupi Akta, Jadual, Perkara Mutlak yang melibatkan perundangan dengan menekankan nilai keadilan dan tanggungjawab sebagai wargangera Malaysia.
Dalam kerangka pendidikan sivik, literasi perlembagaan sering dikaitkan dengan pembentukan kewarganegaraan demokratik yang menekankan keseimbangan antara hak dan tanggungjawab. Individu yang memiliki tahap literasi perlembagaan yang tinggi bukan sahaja memahami struktur dan fungsi institusi negara, malah mampu menilai isu-isu semasa secara kritikal, terutamanya dalam situasi masyarakat majmuk seperti di Malaysia.
Malah pendidikan kewarganegaraan yang berkesan juga mampu mempengaruhi pemikiran anggota masyarakat agar bersikap matang dan menjaga keterbatasan ketika berinteraksi dalam masyarakat. Walaupun Perlembagaan Persekutuan merupakan kontrak sosial yang menjamin keharmonian, namun pada masa kini tahap kefahaman belia terhadap intipatinya lebih bersifat 'pengetahuan umum' dan bukannya 'penghayatan nilai', yang melibatkan rasa hormat nilai warisan yang dipegangi oleh kelompok bangsa tertentu.
Dari sudut konseptual, literasi perlembagaan boleh dibahaskan melalui tiga dimensi utama, iaitu dimensi kognitif, afektif dan tingkah laku, yang melibatkan kefahaman terhadap intipati Perlembagaan. Dimensi kognitif merujuk kepada pengetahuan tentang kandungan perlembagaan, termasuk hak asasi, struktur pemerintahan, pembahagian kuasa, serta peranan institusi seperti eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Dalam sebuah negara yang bersifat demokrasi, dimensi ini merupakan prasyarat utama kepada rakyat untuk memahami isu politik secara rasional agar rakyat tidak mudah dimanipulasi oleh mana-mana pihak. Melalui kefahaman ini penyertaan mereka dalam politik akan lebih berfungsi.
Dimensi afektif pula melibatkan pembentukan nilai dan sikap terhadap sistem perlembagaan, seperti patriotisme, toleransi, dan penghormatan terhadap kepelbagaian dalam masyarakat. Bagi menjamin keharmonian dalam sesebuah negara bermasyarakat majmuk, pengiktirafan hak minoriti adalah penting. Perkara yang sama juga perlu direalisasikan oleh kelompok minoriti yang perlu menerima hak kaum majoriti dan penduduk asal.
Manakala dimensi tingkah laku pula merujuk kepada keupayaan individu untuk mengaplikasikan pengetahuan dan nilai tersebut dalam tindakan harian, seperti mematuhi undang-undang dan terlibat dalam proses demokrasi. Begitu juga dengan penyertaan dalam pilihan raya, pematuhan undang-undang, dan penglibatan dalam masyarakat sivil.
Malah ciri-ciri kewarganegaraan aktif juga menjurus kepada sikap individu dalam mengimbangi antara tanggungjawab individu dan penglibatan mereka dalam memperjuangkan hak keadilan sosial dalam negara. Gabungan ketiga-tiga dimensi ini menjadikan literasi perlembagaan sebagai satu bentuk kecekapan sivik yang menyeluruh.
Ekstremisme adalah fenomena kompleks yang merujuk kepada pegangan ideologi yang melampau sehingga menolak norma sosial dan institusi negara. Dalam era globalisasi dan digitalisasi, penyebaran nilai dan unsur ekstremisme tidak lagi terhad kepada ruang fizikal, sebaliknya berkembang pesat melalui media sosial dan platform komunikasi dalam talian.
Persoalannya di sini bagaimana literasi perlembagaan boleh mencegah perlakuan yang menjurus kepada keganasan dan ektrimisme?
Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan, pentadbiran, keadilan dan hubungan antara rakyat dengan kerajaan. Dalam konteks negara yang bermasyarakat majmuk, Perlembagaan Persekutuan memainkan peranan penting sebagai asas perpaduan dan keharmonian negara, dan mekanisme utama untuk mengurus hubungan kemasyarakatanagar konflik kaum dapat dielakkan.
Fenomena ekstrimisme di Malaysia, boleh dikaitkan dengan kegagalan masyarakat, khususnya golongan belia, dalam memahami dan menghayati Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial yang dinamik. Kegagalan untuk mengetahui, memahami dan menghayati literasi ini, mampu mencetuskan konflik antara etnik (intergroup conflict) dalam pembinaan identiti nasional bagi mengukuhkan negara bangsa Malaysia.
Walaupun perbuatan ekstrimisme dalam kalangan belia di Malaysia agak sukar untuk dikenal pasti, namun ia boleh difahami melalui penzahiran sama ada secara bahasa badan, komunikasi secara maya, interaksi secara langsung dan perlakuan fizikal berunsurkan keganasan, yang menjadi bukti kepada pemikiran yang ekstrem.
Contohnya, masyarakat di Malaysia telah mengemukakan pelbagai reaksi dari sudut sosial dan politik terhadap ratifikasi isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada akhir tahun 2018.
Ini kerana ia bukan sekadar perbahasan isu perundangan antarabangsa, tetapi turut menyentuh sensitiviti identiti etnik, kedudukan Perlembagaan Persekutuan, serta dinamika hubungan antara kelompok etnik dalam masyarakat majmuk.
Dalam isu sebegini, literasi Perlembagaan mampu bertindak sebagai benteng pencegahan perlakuan ekstremisme, melalui beberapa kaedah. Pertama, kesemua akta, jadual, perkara mutlak yang melibatkan perundangan dan termaktub di dalam Perlembagaan membantu memberi kefahaman kepada masayarakat iaitu konvensyen ICERD tidak boleh “mengatasi” Perlembagaan tanpa pindaan domestik.
Oleh itu, ratifikasi perjanjian antarabangsa memerlukan proses pengesahan Parlimen dan kesesuaian dengan undang-undang sedia ada dalam sesebuah negara dan tidak boleh diubah secara drastik. Kedua, literasi perlembagaan mampu mengalihkan persepsi masyarakat kepada wacana dan perbincangan yang lebih rasional dan berasaskan fakta.
Ketiga, literasi perlembagaan berfungsi sebagai 'cognitive buffer' yang mampu bertindak sebagai benteng ekstremisme dan radikalisasi identiti. Walaupun ekstremisme dalam konteks ini tidak semestinya berbentuk keganasan fizikal, namun ia boleh muncul dalam bentuk polarisasi sosial, penolakan norma bersama, dan penegasan identiti secara eksklusif.
Justeru, kerajaan perlu mempelbagaikan strategi bagi menggalakkan rakyat memahami dan menghayati intipati yang terangkum di dalam Perlembagaan. Penggunaan 'hard power' iaitu penguatkuasaan undang-undang terhadap mana-mana individu yang bertindak ekstrim boleh digantikan dengan strategi pendekatan secara “soft power” yang menjurus kepada pembinaan ketahanan psikologi melalui literasi perlembagaan dan kewarganegaraan.
*Profesor Dr Wan Norhasniah Wan Husin ialah pensyarah di Jabatan Pengajian Strategi, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia