Hanya ladang baharu dengan 2,000 ekor babi diwajibkan EIA - Syed Ibrahim

Iklan
Syed Ibrahim ketika hadir pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Khamis. Foto Bernama

SHAH ALAM - Keperluan menyediakan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) hanya diwajibkan bagi pembukaan kawasan baharu penternakan babi yang melibatkan populasi sebanyak 2,000 ekor dan ke atas.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ketetapan itu diperuntukkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ladang penternakan babi sedia ada di Tanjung Sepat tidak tertakluk kepada keperluan berkenaan kerana telah beroperasi sebelum perintah EIA itu berkuat kuasa.

"Walaupun kelulusan laporan EIA bukanlah kelulusan untuk melaksanakan sesuatu projek pembangunan, tetapi ia merupakan pengesahan bahawa aspek perlindungan alam sekitar telah dinilai dan memenuhi keperluan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Iklan

"Keputusan untuk meluluskan sesuatu pembangunan masih tertakluk kepada pertimbangan pihak berkuasa melulus berdasarkan undang-undang dan syarat-syarat lain yang berkaitan," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai langkah penguatkuasaan terhadap penternak babi tradisional di Tanjung Sepat yang dikaitkan sebagai punca pencemaran dan ketidakselesaan penduduk setempat.

Iklan

Syed Ibrahim berkata, aktiviti penternakan babi secara khusus tidak tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Bagaimanapun beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa mengambil serius setiap aduan berkaitan pencemaran alam sekitar dengan menjalankan siasatan.

"JAS turut bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi menjalankan pemeriksaan di lapangan serta mengambil tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing," katanya.