MELAKA - Kerajaan Melaka akan menambah baik garis panduan pengurusan perkhidmatan van jenazah membabitkan pengendali sukarelawan dan swasta, termasuk mewajibkan semua operator berdaftar bagi tujuan pemantauan serta mengelakkan berlakunya unsur penipuan terhadap waris.
Ia susulan kes tular wujud perkhidmatan van jenazah di negeri ini didakwa menipu waris apabila mengenakan bayaran walaupun pada awalnya dikatakan menawarkan perkhidmatan itu secara percuma.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, hasil semakan awal mendapati perkhidmatan van jenazah yang dikaitkan dengan kontroversi itu tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) serta menjalankan urusan penghantaran jenazah dari hospital tanpa pengetahuan kerajaan negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini tidak mempunyai mekanisme pendaftaran khusus bagi operator pengurusan jenazah, namun insiden berkenaan menjadi pengajaran untuk memperkemaskan sistem sedia ada supaya hanya pengusaha yang memenuhi syarat dibenarkan menawarkan perkhidmatan di hospital.
"Selepas ini kita akan memastikan pengusaha perkhidmatan pengurusan jenazah bukan sahaja berdaftar dengan ROS, malah turut didaftarkan dengan pihak berkaitan supaya orang ramai boleh mengenal pasti operator yang disyorkan.
"Kita juga akan menyediakan garis panduan yang jelas. Jika sesuatu perkhidmatan diiklankan sebagai percuma, maka ia mestilah benar-benar percuma. Sekiranya waris ingin memberi sumbangan secara sukarela, itu adalah hak mereka dan bukannya ditetapkan atau dipaksa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kontroversi tersebut seperti didedahkan menerusi Facebook Mr Wan Cai Official pada Rabu.
Rahmad berkata, beliau kesal sekiranya dakwaan itu benar kerana ia boleh menimbulkan persepsi seolah-olah berlaku penipuan terhadap waris yang sedang berdepan saat sukar.
Beliau turut menasihatkan mana-mana waris yang tidak berpuas hati atau merasakan menjadi mangsa penipuan untuk tampil membuat laporan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga akan meneliti cadangan mewujudkan kadar caj yang munasabah bagi perkhidmatan pengurusan jenazah supaya tidak timbul sebarang kekeliruan pada masa hadapan.
“Nasihat saya selepas ini, mana-mana mereka nak menggunakan pengurusan jenazah di hospital, berjumpalah dengan staf MAIM (Majlis Agama Islam Melaka) di hospital.
“Di hospital terdapat bahagian pengurusan jenazah yang bertugas, pihak keluarga boleh mendapatkan panduan serta cadangan yang betul bagi mengelak insiden sama berulang,” katanya.