BERJAYA Food Bhd (BFood) telah melupuskan keseluruhan pegangan ekuiti 50 peratus miliknya, yang terdiri daripada 20 juta saham biasa, dalam Berjaya Paris Baguette Sdn Bhd (BPB) kepada Paris Baguette Singapore Pte Ltd pada nilai nominal RM1 secara tunai.
Dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia, BFood berkata syarikat itu telah memeterai perjanjian jual beli saham dengan francaisi yang berpangkalan di Singapura tersebut pada 29 Jun, dan urus niaga pelupusan itu telah diselesaikan pada 30 Jun.
Sebagai sebahagian daripada transaksi tersebut, BFood turut melangsaikan liabiliti BPB berjumlah RM3.91 juta, termasuk obligasi sewa beli serta komitmen pembayaran lain.
BPB terlibat terutamanya dalam pembangunan dan pengendalian rangkaian kedai bakeri dan runcit Paris Baguette di Malaysia. Syarikat itu telah mencatatkan kerugian sejak memulakan operasinya pada Januari 2023.
Sehingga 31 Disember 2025, BPB merekodkan kerugian bersih yang belum diaudit sebanyak RM67.09 juta dan liabiliti bersih berjumlah RM33.41 juta.
BFood berkata, kos asal pelaburannya bagi pegangan 50 peratus dalam BPB ialah RM20 juta, dan keseluruhan jumlah tersebut telah mengalami susut nilai sepenuhnya (fully impaired).
“Pelupusan ini merupakan sebahagian daripada pelan penjualan aset (divestment) BFood untuk keluar daripada perniagaan rangkaian bakeri dan kedai runcit Paris Baguette di Malaysia, yang telah menanggung kerugian sejak jenama tersebut dilancarkan di negara ini.
“Pelupusan ini akan menghapuskan pendedahan berterusan kumpulan terhadap kerugian BPB, sekali gus membolehkan BFood memperuntukkan sumber dan tumpuan pengurusannya dengan lebih berkesan kepada perniagaan teras serta peluang pertumbuhan lain,” kata BFood.
Berikutan penyempurnaan pelupusan tersebut, BPB tidak lagi menjadi syarikat usaha sama (joint venture) BFood.