DUBAI - Harga minyak jatuh ke paras yang tidak pernah dicatatkan sejak perang Amerika Syarikat (AS) dilancarkan bersama Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu, susulan harapan banyak pihak yang semakin meningkat terhadap kejayaan rundingan bagi mencapai perjanjian damai kekal.
Minyak mentah Brent merosot lebih satu peratus pada Khamis kepada bawah AS$71 setong, sekali gus kembali ke paras penanda aras antarabangsa sebelum perang meletus.
Niaga hadapan Brent bagi penghantaran Ogos berada pada AS$70.82 setong iaitu lebih rendah daripada mana-mana paras sejak 27 Februari, sehari sebelum konflik itu bermula.
Susulan penurunan terbaharu itu, harga Brent kini susut lebih 38 peratus daripada kemuncak selepas perang iaitu lebih AS$126 setong pada 30 April.
Perubahan itu berlaku selepas Qatar selaku perantara utama antara Washington dan Teheran memaklumkan rundingan selama dua hari bagi menyelesaikan isu berkaitan memorandum persefahaman (MoU) untuk menamatkan perang di Doha menunjukkan 'kemajuan positif' meskipun pertemuan itu dikatakan hanya memfokuskan isu berkaitan Selat Hormuz.
Presiden Donald Trump juga optimis berhubung pusingan rundingan tersebut dengan menyatakan proses untuk menyekat program nuklear Iran juga kononnya sedang berjalan dengan baik.
Pakar berpendapat peningkatan aliran minyak dari Teluk dan sentimen geopolitik yang lebih berhati-hati telah menurunkan harga minyak meskipun beberapa isu utama dalam MoU masih belum diselesaikan.
Sejak beberapa hari lalu, aliran perkapalan di Selat Hormuz dilaporkan kembali pulih selepas ketegangan memuncak semula ketika Iran dan AS saling berbalas serangan selama tiga hari berturut-turut pada Khamis lalu.
Menurut data MarineTraffic pada Selasa, kira-kira 40 kapal melintasi laluan strategik tersebut, meningkat daripada kurang daripada 30 kapal pada akhir minggu lalu. - Agensi