MELAKA - Sebuah perkhidmatan van jenazah di negeri ini bersetuju menghentikan operasi serta-merta selepas mengakui melakukan kesalahan ketika beroperasi ekoran kontroversi dakwaan mengenakan bayaran kepada waris.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, beliau memandang serius dakwaan yang tular menerusi hantaran di akaun Facebook Mr Wan Cai Official itu.
Menurutnya, walaupun kini berada di Tanah Suci, beliau telah mengarahkan pegawainya bertemu wakil perkhidmatan berkenaan dengan kadar segera bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
"Selepas semakan dilakukan, didapati terdapat kesalahan ketika menjalankan operasi dan pihak terbabit turut mengakui perkara tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, susulan pengakuan itu, perkhidmatan berkenaan bersetuju menghentikan operasi mereka berkuat kuasa serta-merta.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa tiada pegawai forensik atau pegawai rumah mayat mana-mana hospital terlibat dalam operasi berkenaan.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan sebuah perkhidmatan van jenazah menawarkan khidmat secara percuma kepada waris, namun kemudiannya meminta bayaran yang disifatkan sebagai sumbangan atau infak.
Menurut hantaran di Facebook, pihak waris dihubungi seminggu selepas pengebumian kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun meminta sejumlah wang yang disifatkan sebagai sumbangan atau infak.
Menurut hantaran itu lagi, pada peringkat awal, pihak van jenazah didakwa memaklumkan kepada waris bahawa perkhidmatan berkenaan diberikan secara percuma tanpa sebarang bayaran.
Bagaimanapun, pengendali akaun terbabit mendakwa keluarga berkenaan kemudiannya dihubungi untuk membuat pembayaran yang dikatakan sebagai sumbangan, sekali gus mempersoalkan tindakan menetapkan jumlah tertentu bagi tujuan berkenaan.