SHAH ALAM - Pencipta kandungan kontroversi, Ammar Nazhan tampil memohon maaf susulan menyiarkan semula siaran langsung perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 tanpa kebenaran menerusi akaun TikTok miliknya.
Isu tersebut menjadi perdebatan ramai baru-baru ini kerana pemuda berkenaan didakwa berulang kali melakukan penstriman langsung perlawanan bola sepak di TikTok, bahkan pernah meraih jumlah tontonan melebihi 500,000 serta tanda suka 14.2 juta.
Umum mengetahui bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) secara rasmi merupakan penyiar utama kejohanan bola sepak paling berprestij itu.
Ammar Nazhan berkata, dia pada mulanya mahu berinteraksi dan bersembang tentang perlawanan bersama pengguna TikTok ketika sesi 'live', malah tidak menyangka ia mendapat sambutan besar dalam kalangan peminat bola sepak.
"Langsung tak sangka boleh masuk 'For You Page' (FYP). Sejujurnya Am (nama panggilan) tak pernah berniat untuk menyinggung atau menyusahkan mana-mana pihak.
"Bagi Am, Piala Dunia ialah acara yang menyatukan peminat bola sepak dari seluruh dunia. Am seronok dapat berkongsi keterujaan dan melihat ramai penonton sama-sama menikmati suasana perlawanan," katanya menerusi hantaran di Threads pada Rabu.
Pemuda itu memaklumkan bersedia memberikan kerjasama melalui saluran yang sewajarnya bagi menjernihkan keadaan.
Ammar Nazhan turut berharap agar semua pihak boleh memberikan ruang kepada fakta dan tidak terus menghukum berdasarkan andaian atau kandungan video yang dipotong-potong demi mengejar tontonan.
Bagaimanapun dia mengakui terasa hati dengan kecaman dan hinaan daripada orang ramai.
"Am juga manusia biasa... Ada keluarga, pasukan dan penyokong yang turut terkesan dengan semua perkara yang sedang berlaku.
"Terima kasih kepada semua yang terus bersama Am. Insya-ALLAH Am akan terus berkarya, belajar daripada pengalaman dan menghasilkan kandungan yang lebih baik pada masa akan datang," ujarnya lagi.
Sinar Harian sedang mendapatkan respons susulan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ashwad Ismail berhubung tindakan yang patut dikenakan terhadap pemuda tersebut.