PETALING JAYA – Tular rakaman video memaparkan dua pemandu dipercayai bergaduh di tengah jalan selepas berlaku perselisihan faham dikatakan berpunca daripada cubaan memotong barisan di Taman Medan di sini, pada Khamis.
Rakaman yang dimuat naik di media sosial itu memaparkan insiden dipercayai bermula apabila sebuah kereta cuba memotong barisan untuk memasuki lorong keluar, namun dihalang sebuah lagi kenderaan yang enggan memberi laluan.
Keadaan itu dipercayai mencetuskan pertengkaran sehingga kedua-dua pemandu bertindak keluar dari kenderaan sebelum bergaduh di tengah jalan.
Video berdurasi beberapa saat itu turut menunjukkan beberapa pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan masing-masing bagi menyaksikan kejadian berkenaan menyebabkan aliran trafik di lokasi terjejas.
Perkongsian video tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-ratanya mengecam tindakan kedua-dua individu terbabit.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak polis berhubung insiden itu.