NEW DELHI – Seorang wanita berusia 32 tahun di daerah Tiruppur, India, meninggal dunia akibat komplikasi selepas bersalin di rumah dengan bantuan suaminya yang dipercayai berpandukan video proses kelahiran di YouTube.
Mangsa, K Sasikala dari kampung Punjaithalavaipalayam, Uthukuli taluk, dilaporkan melahirkan seorang bayi perempuan pada 24 Jun dengan bantuan suaminya, Kolanthasamy, 35 tahun, serta ibu mentuanya.
Menurut polis, pasangan itu dipercayai mengikuti panduan video mengenai kaedah kelahiran semula jadi sepanjang proses bersalin.
Bagaimanapun, mangsa mengalami komplikasi apabila uri tidak keluar sepenuhnya sehingga menyebabkan pendarahan selepas bersalin.
Keadaannya semakin kritikal sebelum dibawa ke Hospital Kolej Perubatan Kerajaan Erode di Perundurai dan kemudian dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Coimbatore pada 25 Jun untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pagi 27 Jun selepas gagal memberi tindak balas terhadap rawatan.
Polis memaklumkan siasatan telah dibuka terhadap suami mangsa di bawah peruntukan undang-undang berkaitan kematian akibat kecuaian susulan laporan yang dibuat oleh Pegawai Perubatan Daerah Kunnathur.
Siasatan awal turut mendapati mangsa tidak berdaftar dalam sistem pemantauan kesihatan ibu dan bayi, manakala pihak berkuasa kesihatan sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu. - Agensi