Anak gajah dilanggar, luka di Gerik berulang kembali di Mersing

Iklan
Seekor anak gajah mati dilanggar kenderaan, manakala ibunya enggan berganjak selama tujuh jam di Jalan Felda Nitar, Mersing.

INSIDEN anak gajah yang maut dilanggar kenderaan jenis Perodua Bezza di Mersing, Johor pada Rabu mengingatkan tentang peristiwa pahit pada 11 Mei tahun lalu di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak.

Tragedi yang amat meruntun jiwa dan emosi seluruh negara ketika Hari Ibu apabila seekor gajah betina dirakam sedang cuba menolak sebuah treler selepas anaknya dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan berat itu.

Iklan
Iklan

Berdasarkan persamaan dua kes tersebut, ibu gajah dilaporkan enggan berganjak selama berjam-jam dan setia berada di sisi bangkai anaknya, seolah-olah berharap ada keajaiban yang mampu menghidupkannya kembali.

Walaupun manusia tidak boleh mentafsir secara tepat emosi haiwan, pelbagai kajian etologi (tingkah laku binatang dan tabiat semula jadi) menunjukkan gajah antara mamalia paling pintar serta mempunyai ikatan kekeluargaan yang sangat kuat.

Iklan

Gajah betina hidup dalam kumpulan matriarki, menjaga anak selama bertahun-tahun dan diketahui menunjukkan tingkah laku seperti berkabung apabila kehilangan ahli keluarga.

Justeru, tindakan ibu gajah yang enggan meninggalkan anaknya berjam-jam lamanya bukan satu perkara yang mengejutkan.

Iklan

Ia juga bukan sekadar naluri keibuan, tetapi gambaran hubungan sosial yang sangat mendalam terhadap spesies tersebut.

Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah insiden sebegini bukan lagi boleh dianggap terpencil.

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, laluan JRTB khususnya terus mencatatkan kemalangan melibatkan hidupan liar, terutama gajah yang keluar mencari sumber makanan atau berpindah akibat pemecahan habitat.

Persoalannya, berapa banyak lagi tragedi perlu berlaku sebelum penyelesaian lebih menyeluruh dilaksanakan? Papan tanda amaran semata-mata mungkin tidak lagi mencukupi.

Tidak dinafikan rentetan daripada kes anak gajah mati dilanggar di JRTB, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang papan tanda amaran khas di lokasi-lokasi dikenal pasti sebagai laluan gajah.

Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, sebanyak 39 lintasan gajah di seluruh negara turut dilengkapi lampu jalan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan melindungi haiwan liar.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan pertimbang cadangan memperluas penggunaan sistem pengesanan hidupan liar, pemasangan kamera haba dan had laju kenderaan yang lebih ketat di kawasan 'hot spot' lintasan gajah.

Selain itu, pembinaan lebih banyak koridor ekologi bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar.

Hakikatnya, tragedi di Gerik dan Mersing tidak hanya meragut nyawa seekor anak gajah.

Ia meninggalkan satu persoalan besar tentang sejauh mana pembangunan dan jaringan jalan raya negara mengambil kira kelangsungan habitat hidupan liar.

Manusia mungkin tidak memahami bahasa gajah, namun seekor ibu gajah yang sanggup menunggu lima hingga tujuh jam di sisi bangkai anak sudah cukup menjadi bahasa universal tentang kasih sayang.

Apabila tragedi hampir sama berulang dalam tempoh setahun meskipun di kawasan yang berbeza, ia bukan lagi soal kemalangan.

Tetapi, satu amaran bahawa kita belum benar-benar belajar daripada kisah kehilangan yang lama.