'Boost' tenaga jadi alasan, 121 pemandu lori positif dadah ditahan

Iklan
Muhammed Hasbullah pada sidang media di Bukit Aman pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Kebanyakan pemandu kenderaan perdagangan yang dikesan positif dadah memberi alasan mengambil bahan terlarang bagi meningkatkan tenaga dan kekal cergas ketika memandu dalam tempoh yang panjang.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, tanggapan itu adalah salah kerana penyalahgunaan dadah bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah mengundang risiko besar kepada keselamatan pengguna jalan raya.

Iklan
Iklan

“Berdasarkan trend semasa, kebanyakan pemandu yang dikesan positif dadah adalah melibatkan methamphetamine. Ada antara mereka memandu dalam tempoh yang panjang dan beranggapan pengambilan bahan terlarang itu dapat meningkatkan tenaga.

“Tanggapan tersebut adalah salah kerana penggunaan dadah bukan sahaja merosakkan kesihatan dalam jangka panjang, malah membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, seramai 135 individu termasuk 121 pemandu lori ditahan selepas didapati positif dadah menerusi Op Bersepadu yang dilaksanakan JSPT di seluruh negara dari April hingga Jun.

Operasi itu turut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Iklan

Muhammed Hasbullah berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 44 operasi bersepadu dilaksanakan membabitkan 627 pegawai dan anggota.

"Sebanyak 713 ujian saringan air kencing telah dijalankan sepanjang operasi tersebut. Hasilnya, seramai 135 individu ditahan termasuk 121 pemandu lori dan 14 individu lain.

"Ini menunjukkan hampir 90 peratus daripada tangkapan melibatkan pemandu kenderaan perdagangan," katanya.

Beliau berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada pemandu treler, lori, bas ekspres, bas pekerja, bas sekolah serta kenderaan yang membawa bahan berbahaya.

"Pemeriksaan turut melibatkan lesen, permit dan dokumen syarikat bagi memastikan hanya pemandu yang layak, kompeten serta bebas daripada pengaruh dadah dibenarkan berada di jalan raya," katanya.

Menurutnya, daripada keseluruhan tangkapan itu, seramai 27 individu didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Dadah Berbahaya.

"Tiga lagi didakwa di bawah Seksyen 12(2), 101 orang mengikut Seksyen 15(1), tiga di bawah Seksyen 39A dan seorang lagi mengikut Seksyen 6 akta sama," katanya.