IPOH - Pihak pendakwaan pada Rabu menolak permohonan representasi yang dikemukakan Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 42, untuk menarik balik pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani memaklumkan perkara itu ketika prosiding sebutan semula kes di hadapan Majistret Norizan Riduan di Mahkamah Majistret Ipoh di sini.
Menurut beliau, pihak pendakwaan menerima arahan untuk meneruskan prosiding selepas permohonan representasi yang dikemukakan pihak pembelaan diteliti.
Representasi yang dikemukakan Nurhaswani Afni antara lain memohon supaya pertuduhan terhadapnya ditarik balik namun permohonan itu tidak dipersetujui.
Peguam bela, Zulzarif Zakuan yang mewakili tertuduh mengesahkan keputusan tersebut dan memohon mahkamah menetapkan tarikh terdekat bagi pengurusan kes.
Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan prosiding berikutan ketidakhadiran peguam bela utama, Datuk Naran Singh.
Norizan kemudian menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula bagi tujuan pengurusan kes.
Media pada 12 Februari lalu melaporkan wanita berkenaan telah memfailkan representasi untuk menggugurkan pertuduhan itu.
Peguam Zulzarif yang mewakili Nurhaswani Afni berkata, representasi berkenaan dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada 6 Februari lepas.
Sebelum ini pada 8 Oktober tahun lalu mahkamah menolak pengakuan bersalah tertuduh selepas dimaklumkan pihak pendakwaan bahawa laporan daripada Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta di sini menyatakan wanita itu menghidap skizofrenia dan tidak waras semasa kejadian.
Wanita itu didakwa atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin dengan cuba menyerang baginda di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 8 September 2025, dia dihadapkan ke mahkamah sama, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh diperintahkan menjalani pemeriksaan serta pemantauan di Hospital Bahagia selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.