SHAH ALAM - Anak bongsu Allahyarham Saiful Adli Azmi, 42, yang maut dalam kemalangan langgar lari di Lebuh Saujana, Putrajaya pada April lalu masih belum mampu menerima hakikat bapanya itu sudah 'pergi' buat selamanya.
Lebih menyayat hati, kanak-kanak berusia lima tahun itu masih mengharapkan arwah pulang dari tempat kerja seperti kebiasaan sehingga membuatkan ahli keluarga sebak setiap kali melihat gelagatnya.
Adik mangsa, Shazni Azmi, 39, berkata, kehilangan Allahyarham Saiful Adli bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada isteri, malah tiga anak arwah yang masih bergelut menerima pemergian insan tersayang.
"Anak bongsu arwah memang masih tak dapat terima, malah kadang-kadang dia berdiri di depan pintu jeriji sambil tunggu papanya balik.
"Waktu nak tidur pun dia panggil papa suruh tepuk dia macam selalu dibuat arwah. Setiap kali tengok keadaan dia, kami memang sedih," katanya ketika ditemui di Seksyen 18 di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Shazni memberitahu, keadaan itu mengundang perasaan sebak dan mahu menuntut keadilan selepas kematian Allahyarham Saiful Adli
Menurut Shazni, sehingga kini keluarga masih menunggu perkembangan siasatan kerana individu yang dipercayai terbabit dalam kemalangan itu masih belum dikenal pasti.
Katanya, keluarga turut kecewa apabila dimaklumkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tidak cukup jelas untuk membantu mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan terbabit.
"Kami hanya mahukan kebenaran dan keadilan untuk arwah kerana sudah lebih dua bulan berlalu, tetapi pelaku masih belum dapat dikesan.
"Kami berharap individu yang terbabit tampil ke balai polis untuk memberi kerjasama sekiranya tidak bersalah," jelasnya.
Beliau berkata, keluarga juga sudah mendapatkan khidmat peguam dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang sekiranya siasatan terus berlarutan tanpa perkembangan.
Dalam pada itu, katanya, isteri arwah yang juga penjawat awam masih meneruskan kehidupan seperti biasa demi membesarkan tiga anak mereka, namun kehilangan ketua keluarga itu memberi dugaan besar kepada seluruh ahli keluarga.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Allahyarham Saiful Adli yang menunggang motosikal sedang menuju pulang ke rumahnya di Putrajaya selepas selesai berniaga pisang goreng di Seksyen 18.
Lebih memilukan, mangsa baru menjalani rawatan jantung dan sempat pulang bercuti raya selama seminggu di kampung halaman isterinya di Kota Belud, Sabah.
Siasatan awal polis yang menerima maklumat kejadian kira-kira jam 11.50 malam, 2 April itu mendapati sebuah kereta mengubah haluan untuk memasuki ke simpang kanan sebelum melanggar mangsa.
Pelanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh di pembahagi jalan dan dikejarkan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.