SHAH ALAM - Kerajaan diminta membentangkan hasil kajian impak pelaksanaan projek lencana Jalur Gemilang yang menelan belanja RM8.4 juta bagi menilai sama ada peruntukan itu benar-benar memberi kesan terhadap usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan murid.
Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad, berkata penjelasan itu penting bagi membuktikan sama ada matlamat program berkenaan berjaya dicapai selepas lebih setahun dilaksanakan di sekolah.
Menurutnya, kajian impak juga perlu menjawab sama ada peruntukan RM8.4 juta yang dibelanjakan itu setimpal dengan manfaat yang diterima.
"Sudah dibuat kajian impak atau belum? Kalau sudah, berapa skor indeks patriotisme yang meningkat selepas lebih setahun program ini dilaksanakan?
"Berbaloikah impaknya dengan peruntukan RM8.4 juta yang disediakan? Eloklah dikongsikan hasil kajian itu di sidang Parlimen," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Dalam hantaran sama, beliau turut memuat naik tangkap layar laporan mengenai peruntukan RM8.4 juta yang disediakan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membekalkan lencana Jalur Gemilang secara percuma kepada murid.
Anuar berkata, jumlah peruntukan itu juga boleh dimanfaatkan untuk pelbagai keperluan lain yang memberi impak lebih besar kepada murid.
Menurutnya, sebagai contoh, RM8.4 juta mampu menyediakan sarapan pagi bernilai RM5 kepada lebih 1.6 juta murid daripada keluarga kurang berkemampuan.
"Kalau diberikan setiap sekolah RM10,000 untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) paling asas, lebih 800 buah sekolah dapat CCTV.
"Bayangkan kalau satu sekolah ada 1,000 murid, maksudnya 800,000 murid dapat manfaat keselamatan," katanya.
Beliau berkata, peruntukan sama juga boleh digunakan untuk melengkapkan hampir 1,700 bilik darjah dengan kemudahan Smart TV berharga RM5,000 seunit.
"Dengan andaian setiap kelas mempunyai 45 murid, lebih 75,000 murid dapat memanfaatkan kemudahan tersebut dalam tempoh setahun. Itu baru setahun. Bila smart TV itu digunakan selama lima tahun, maksudnya lebih 350,000 murid dapat faedahnya untuk pembelajaran," ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Anuar mengakui projek lencana Jalur Gemilang merupakan satu inisiatif yang baik kerana bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan murid.
Namun, katanya, setiap program yang membabitkan perbelanjaan awam wajar disusuli penilaian impak bagi memastikan wang rakyat dibelanjakan secara berkesan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada program lencana Jalur Gemilang akan diteruskan kepada murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027.
"Jika tidak diteruskan, mengapa? Sebagai rakyat, kita berhak bertanya kerana duit RM8.4 juta itu datangnya daripada poket rakyat," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: RM8.4 juta diperuntuk bagi perolehan lencana Jalur Gemilang - KPM
'Lencana Jalur Gemilang diberi percuma, lekat sahajalah' - PM
Lencana Jalur Gemilang: KPM jamin tiada beban tambahan kepada pelajar
Utamakan kemudahan sekolah berbanding lencana Jalur Gemilang - Cabang PKR Pasir Gudang