Dawai halus tersangkut punca letupan kecil LRT Laluan Kelana Jaya

Iklan
Rapid KL memaklumkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut dan perkhidmatan di Laluan Kelana Jaya terus beroperasi seperti biasa. Foto hiasan

PETALING JAYA - Rapid KL mengesahkan bunyi letupan kecil yang berlaku di Laluan Kelana Jaya pada malam Selasa berpunca daripada seutas dawai halus yang tersangkut pada sistem bekalan kuasa, bukannya disebabkan kerosakan pada tren atau landasan.

Rapid KL dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati dawai yang bukan sebahagian daripada komponen tren mahupun landasan itu telah cair di lokasi kejadian selepas tersangkut pada sistem bekalan kuasa sehingga menyebabkan bunyi letupan kecil berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan awal oleh pasukan teknikal turut mengesahkan tiada sebarang kerosakan dikesan pada tren yang terlibat mahupun komponennya.

"Pada masa sama, pemeriksaan ke atas landasan di antara Stesen Universiti dan Stesen Taman Jaya mendapati keadaan infrastruktur berada dalam keadaan baik dan selamat untuk operasi.

Iklan

Terdahulu, Rapid KL mengesahkan berlaku satu insiden melibatkan bunyi letupan kecil di Laluan Kelana Jaya pada jam 7.18 malam Selasa ketika sebuah tren bernombor 57 berada di Stesen Taman Jaya menghala ke Putra Heights.

Sebagai langkah keselamatan, tren berkenaan dikeluarkan serta-merta daripada perkhidmatan, manakala semua penumpang diturunkan dengan selamat di stesen berikutnya sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren lain.

Iklan

Rapid KL memaklumkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut dan perkhidmatan di Laluan Kelana Jaya terus beroperasi seperti biasa.

Menurut syarikat itu, setiap insiden yang melibatkan aspek keselamatan dipandang serius dan siasatan lanjut serta langkah pencegahan sewajarnya akan terus dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

Orang ramai juga disaran merujuk laman media sosial Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan Laluan Kelana Jaya.