MELAKA - Barisan Nasional (BN) Melaka tidak membantah hasrat Nga Kor Ming untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sekiranya BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.
Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tiada mana-mana pihak menyuruh atau menghalang pemimpin DAP itu berbuat demikian.
“Sebenarnya saya tak nak komen, tapi bila dia dah mengatakan bahawa dia nak letak jawatan, siapa larang dia letak jawatan? Letaklah.
“Tiada siapa suruh dan tiada siapa yang halang. Itu hak dia,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Latih Amal Ex-Undi PRN Ke-16 Negeri Melaka Tahun 2026 (Simulasi Ketenteraman Awam) di Tanjung Bidara, di sini, pada Selasa.
Dalam temu bual eksklusif bersama Oriental Daily, Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP dilaporkan akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya Najib dibebaskan tanpa sebarang sabitan.
Menurutnya, DAP juga tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia merupakan ‘garis merah’ parti berkenaan.
Kor Ming turut mendakwa UMNO Johor berulang kali menyuarakan hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal dengan mendakwa slogan ‘UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah’ merupakan agenda parti itu.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, urusan pembentukan kerajaan negeri tidak seharusnya dikaitkan dengan isu tersebut mahupun dengan Kerajaan Persekutuan.
Justeru katanya, BN tidak menghalang Kor Ming berbuat demikian dan perkara itu bukanlah satu masalah kepada BN.