PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor kali ini semakin memperlihatkan landskap politik berbeza daripada kebiasaan.
Pertembungan bukan lagi sekadar antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya membentuk percaturan baharu yang menjadikan PH sebagai sasaran utama hampir semua pihak.
Di blok bukan Melayu, kemunculan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dipelopori Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad berpotensi memecahkan sebahagian undi tradisi PH, khususnya dalam kalangan pengundi bandar, profesional dan reformis yang kecewa terhadap prestasi kerajaan.
Pada masa sama, arahan pemimpin Pas supaya penyokong mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN pula menghidupkan persepsi wujudnya persefahaman politik tidak rasmi antara kedua-dua pihak.
Walaupun terus dinafikan, perkembangan itu memberi gambaran bahawa keutamaan mereka ketika ini ialah menghalang kemenangan PH.
Di satu pihak, undi bukan Melayu berisiko berpecah kepada Bersama. Di pihak lain, sokongan Melayu pula mungkin semakin mengukuh kepada BN dengan bantuan penyokong Pas di kerusi tertentu.
Inilah realiti sistem pilihan raya first-past-the-post. Kemenangan tidak semestinya ditentukan oleh pertambahan sokongan sendiri, sebaliknya juga bergantung kepada sejauh mana lawan kehilangan undi akibat perpecahan.
Justeru, persoalan yang wajar diberi perhatian bukan lagi sama ada Bersama mampu memenangi banyak kerusi atau BN dan Pas benar-benar akan bekerjasama selepas pilihan raya.
Sebaliknya, persoalan lebih besar ialah sama ada kedua-dua perkembangan itu akhirnya menjadikan PH sebagai antagonis nombor satu yang mesti ditewaskan oleh semua pesaing.
Jika keadaan itu benar-benar berlaku pada hari pengundian, PRN Johor bukan sahaja menjadi medan memilih kerajaan negeri, malah pentas menguji sejauh mana kekuatan sebenar PH berdepan serangan politik dari pelbagai penjuru.