TINDAKAN membuang empat pelajar dan menggantung dua lagi susulan kes buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Johor membuktikan pendirian tegas institusi itu terhadap budaya buli.
Prinsip 'You Touch, You Go' kini bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan disiplin yang pantas.
Namun persoalan lebih besar ialah mengapa kejadian seumpama ini masih berlaku dalam institusi yang terkenal dengan pemilihan pelajar berprestasi tinggi serta penekanan terhadap pembentukan sahsiah.
Apa yang lebih membimbangkan, kes ini hanya terbongkar selepas ibu mangsa berkongsi penderitaan anaknya di media sosial kerana tidak lagi sanggup berdepan tekanan sehingga memilih meninggalkan sekolah.
Ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa saluran aduan sedia ada mungkin masih gagal meyakinkan mangsa untuk tampil mendapatkan bantuan lebih awal.
Tindakan pantas Mara perlu dipuji, malah mampu memulihkan keyakinan ibu bapa terhadap MRSM yang selama ini dikenali sebagai institusi pendidikan berprestasi tinggi.
Cemerlang dalam akademik tidak bermakna jika pelajar berasa tidak selamat sehingga terpaksa meninggalkan sekolah akibat tekanan dan gangguan.
Cabaran sebenar ialah membina budaya sekolah yang membolehkan pelajar melaporkan kejadian tanpa rasa takut dipulaukan atau menjadi sasaran balas dendam.
Guru, warden dan pentadbir juga perlu lebih proaktif mengesan perubahan tingkah laku pelajar yang berpotensi menjadi mangsa.
Dasar 'You Touch You Go' perlu dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira latar belakang atau pencapaian pelajar.
Mesejnya amat jelas iaitu tiada tempat untuk budaya buli dalam sistem pendidikan.
Kejayaan sebenar bukan hanya terletak pada jumlah pelajar yang disingkirkan, tetapi kemampuan institusi pendidikan menghalang budaya buli daripada berakar umbi.
Dengan pendekatan menyeluruh melibatkan penguatkuasaan, pendidikan nilai dan sistem sokongan yang berkesan, mampu merealisasikan persekitaran pembelajaran selamat.