Dua anggota cedera: TDM tubuh Lembaga Siasatan

Iklan
TDM menubuhkan satu Lembaga Siasatan bagi menyiasat secara menyeluruh punca sebenar melibatkan dua anggota cedera semasa LPT di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun di Kedah, Isnin lalu.

SHAH ALAM - Tentera Darat Malaysia (TDM) menubuhkan satu Lembaga Siasatan bagi menyiasat secara menyeluruh punca sebenar melibatkan dua anggota cedera semasa Latihan Peningkatan Tempur (LPT) di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun di Kedah, Isnin lalu.

TDM dalam kenyataan memaklumkan, lapang sasar tersebut juga telah ditutup sementara waktu bagi membolehkan proses siasatan berjalan lancar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, TDM memandang serius terhadap insiden ini dan akan memastikan aspek keselamatan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan sentiasa diutamakan.

"Kejadian tersebut berlaku ketika sesi latihan tembakan sedang dijalankan apabila senjata yang dikendalikan oleh kedua-dua anggota tersangkut (stoppage) dan tidak meletup," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Tambah TDM, kedua-dua anggota telah melaksanakan tindakan segera mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan bagi menangani situasi berkenaan.

Jelasnya, bagaimanapun, satu letupan telah berlaku secara tiba-tiba mengakibatkan kedua-dua anggota mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terkena serpihan.

Iklan

"Kedua-dua anggota telah diberikan rawatan kecemasan awal di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan pasukan sebelum dikejarkan ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut.

"TDM ingin memaklumkan bahawa keadaan semasa kedua-dua anggota adalah stabil," ujarnya.

Katanya lagi, Sarjan Mohamad Firdaus telah menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang ke pasukan, manakala Koperal Felix sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Justeru, pihak TDM memohon kerjasama agar semua pihak, khususnya orang awam dan pengguna media sosial tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan serta menghormati privasi anggota yang terlibat dan keluarga mereka.

"Sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," ujarnya.

Sebelum itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah memaklumkan siasatan kes itu dijalankan bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960.

Sebelum ini, media melaporkan dua anggota tentera terkorban akibat terkena letupan bom ketika menjalani latihan di kem yang sama pada 16 Jun lalu.