KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat pada Selasa bertukar panas apabila beberapa ahli Parlimen bertikam lidah berhubung dakwaan Kelantan mencatatkan jumlah kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang tinggi.
Kekecohan tercetus apabila Datuk Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) membangkitkan mengenai kenyataan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ketika perbahasan pada Isnin mendakwa kes seksual membabitkan kanak-kanak di Kelantan berada pada tahap membimbangkan.
Ahmad Fadhli berkata, dakwaan tersebut tidak disokong statistik rasmi dan bercanggah dengan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Tak pernah dalam statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, Kelantan muncul sebagai negeri tertinggi dalam apa jua jenayah seksual yang membabitkan kanak-kanak.
“Memetik media sana sini tanpa sebarang statistik adalah satu jenayah akademik yang tidak boleh dilakukan oleh seorang ahli Parlimen dan ini merupakan politik murahan untuk berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya ketika mencelah sesi persidangan.
Rayer bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dengan menjelaskan beliau hanya merujuk laporan media tempatan dan bukannya berniat mengelirukan Dewan Rakyat.
Menurutnya, perkara yang dibangkitkan adalah berkaitan tindakan kerajaan dalam menangani peningkatan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
“Pertanyaan saya kepada Timbalan Menteri ialah mengapa kerajaan tidak memberi tumpuan untuk mengurangkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang makin berleluasa di Kelantan dan apakah tindakan kerajaan. Itu persoalan saya, bukan membohong,” ujarnya.
Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) kemudian bangkit meminta semua pihak tidak mempolitikkan isu berkenaan.
Beliau berkata, berdasarkan laporan DOSM bertarikh 15 Mei 2024, Selangor mencatatkan jumlah kes jenayah seksual tertinggi kerana populasinya yang besar, namun isu tersebut tidak seharusnya dilihat mengikut negeri semata-mata.
“Jenayah seksual kanak-kanak ini berlaku di mana-mana negeri. Kita fokus bagaimana hendak selesaikan, tak payahlah politikkan. Jelutong tutup buku,” katanya.
Suasana Dewan yang semakin tegang akhirnya ditenangkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau yang mengingatkan semua ahli Parlimen supaya mematuhi peraturan mesyuarat.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan boleh diambil termasuk mengarahkan ahli Parlimen keluar dari Dewan sekiranya kekecohan berterusan.
Pada Isnin, Rayer ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 dilapor meminta kerajaan menjelaskan langkah menangani peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak di negara ini.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan bahawa Kelantan merekodkan banyak kes membabitkan jenayah tersebut.