KOTA BHARU -"Syukur selamat kerana semasa letupan bom saya tertidur dalam kereta dan sedar-sedar kejadian sudah berlaku."
Demikian kata Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, menceritakan kembali detik cemas yang dilalui selepas kereta jenis utiliti sukan (SUV) Proton X50 dinaiki bersama rakannya, Muhammad Yusri Udin, 38, terkena letupan bom di Narathiwat, Thailand.
Kakitangan sebuah hospital di Selangor itu memberitahu, pada hari kejadian dia bersama rakannya yang juga bekerja dalam sektor sama dalam perjalanan pulang setelah bermalam di negara berkenaan.
Katanya, mereka ke sana untuk makan-makan dan kebetulan semasa kejadian dia berada di tempat duduk penumpang, manakala Muhammad Yusri yang memandu.
"Saya mengantuk sebab kenyang. Sedar-sedar kejadian letupan sudah berlaku.
"Alhamdulillah saya hanya mengalami luka-luka kecil di kepala, dahi, tangan dan paha," katanya ketika ditemui pemberita semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini pada Selasa.
Beliau yang berasal dari Gaal, Pasir Puteh dan belum berumah tangga berkata, ahli keluarganya telah dimaklumkan mengenai keadaannya.
Abdullah berkata, kerajaan Thailand sangat baik apabila menawarkan untuk merawat mereka berdua sehingga sembuh dan membantu memudahkan segala urusan.
"Namun memikirkan urusan kerja, saya dan rakan minta untuk dirawat di sini (Kelantan)," katanya.
Sementara itu, rakannya, Muhammad Yusri yang berasal dari Sabah turut mengalami kecederaan ringan dan berada dalam keadaan stabil.
Kedua-dua mangsa tiba di HRPZ II pada jam 11.20 pagi selepas dipindahkan dari Sungai Golok, Thailand dengan menaiki ambulans.
Terdahulu Sinar Harian pada Isnin melaporkan dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terkena letupan bom yang dipasang di dalam pembentung berhampiran persimpangan tiga Sapom, laluan masuk ke daerah Tak Bai di Kampung Phrai Wan, Mukim Phrai Wan, Narathiwat, Thailand.
Kejadian terbabit dipercayai berlaku kira-kira jam 11.41 pagi (waktu tempatan) dan menyebabkan laluan di kawasan berkenaan ditutup sepenuhnya bagi membolehkan Unit Pemusnah Bom (EOD) dan pasukan forensik menjalankan siasatan serta pemeriksaan terperinci di lokasi kejadian.