Malaysia perkukuh mekanisme pengurusan pelarian seiring keselamatan, kedaulatan negara - TPM

Iklan
Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka kali ke-6. Foto FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Krisis pelarian global semasa menuntut Malaysia memperkukuh mekanisme pengurusan sedia ada bagi memastikan tanggungjawab kemanusiaan berjalan seiring dengan keutamaan keselamatan serta kedaulatan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting memandangkan dunia kini berdepan krisis pelarian yang semakin mencabar, dengan lebih 122 juta individu dipindahkan secara paksa akibat konflik dan ketidakstabilan global.

Iklan
Iklan

"Keadaan ini menuntut setiap negara, termasuk Malaysia, mempunyai dasar yang jelas serta mekanisme pengurusan yang mampu mengimbangi tanggungjawab kemanusiaan dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kedaulatan negara.

"Saya percaya pengurusan pelarian bukan hanya tentang soal pentadbiran, tetapi juga soal menjaga keselamatan negara, khususnya dalam memelihara ketenteraman awam dan memastikan setiap keputusan yang diambil sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat serta kedaulatan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Iklan

Terdahulu hari ini beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (JTPPPS) kali ke-6 bagi meneliti pelaksanaan dasar serta mekanisme pengurusan pelarian di Malaysia agar terus dilaksanakan secara lebih sistematik dan selaras dengan kepentingan negara.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata mesyuarat itu turut memperhalusi pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) serta penyelarasan garis panduan akses pendidikan dan kesihatan agar lebih teratur, berlandaskan undang-undang dan mudah diselaras oleh agensi berkaitan.

Iklan

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, pengurusan pelarian merupakan antara isu rentas sempadan yang semakin kompleks dan memerlukan pendekatan yang jelas, tersusun serta berpandangan jauh.

Beliau berkata, isu itu bukan sahaja melibatkan aspek kemanusiaan, malah turut memberi implikasi terhadap tadbir urus, penyelarasan agensi dan kesejahteraan negara dalam jangka panjang.

"Dalam mesyuarat ini (JTPPPS) kami turut memperhalusi beberapa agenda utama bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih tersusun, jelas dari segi tanggungjawab setiap agensi dan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Saya yakin pendekatan yang terancang dan diselaraskan mampu memastikan setiap keputusan dilaksanakan secara lebih berkesan. Apa juga dasar yang digubal perlu mengambil kira keseimbangan antara tanggungjawab kemanusiaan, keupayaan negara serta kepentingan nasional demi menjamin kesejahteraan rakyat dan masa depan Malaysia," katanya. - Bernama