ABIDIN — Tentera Israel memperluaskan kempen pencerobohan mereka dari Lubnan ke selatan Syria, sekali gus berisiko memburukkan lagi situasi di Asia Barat ketika rundingan susulan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran masih berdepan ketidakpastian.
Ketegangan di zon penampan yang diduduki rejim Zionis terus meningkat sejak beberapa hari lalu hingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk kampung Abidin di kawasan Lembangan Yarmuk di wilayah Daraa. Sejak Ahad, komuniti di kawasan berusaha menghalang kemasukan askar Israel.
Insiden keganasan bagaimanapun tercetus selepas tentera Zionis melepaskan tembakan amaran untuk menakut-nakutkan penduduk kampung selain membedil artileri ke kawasan penempatan.
Tiada kecederaan dilaporkan, namun kebanyakan penduduk yang melarikan diri masih takut untuk pulang pada Isnin.
Presiden interim Syria, Ahmad al-Sharaa dalam satu kenyataan menggesa Zionis berundur dari kawasan seluas 235 kilometer persegi itu.
Kementerian Luar Syria turut mengecam serangan ke atas wilayah Quneitra dan Daraa serta pengeboman artileri ke atas kawasan berkenaan yang disifatkan sebagai pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan dan integriti negara itu.
Ia merupakan insiden keganasan kedua dalam tempoh kurang 24 jam, sehari selepas tentera Israel mengumumkan mereka telah membunuh kumpulan lelaki bersenjata di selatan Damsyik, namun tidak mendedahkan sebarang butiran lanjut.
Israel menguasai 'zon keselamatan' di Bukit Golan yang dipantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Damsyik pada Disember 2024 selepas kejatuhan rejim Presiden Bashar al-Assad.
Pada awalnya, Israel menyifatkan tindakan itu sebagai sementara atas alasan bagi melindungi sempadan daripada ancaman kumpulan militan. Namun, beberapa pemimpin kanan kerajaan 'ekstremis' itu pula merancang untuk terus menduduki kawasan itu tanpa had masa. - Agensi