KAJANG - Tiada bahagian badan yang terpisah atau dipotong membabitkan kes penemuan mayat wanita di dalam bagasi di Taman Impian Indah di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, bedah siasat mangsa telah selesai dijalankan pada jam 6.20 petang, Isnin di Unit Forensik Hospital Kajang.
Menurutnya, punca kematian ialah luka tetakan di kepala.
"Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, rumah tersebut merupakan rumah yang disewakan kepada sepasang suami isteri warga asing sejak bulan Februari lalu.
Jelasnya, sesiapa yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga atau pekerja boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintenden Nur Ayuni Abd Aziz di talian 016-2080717 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan misteri bau busuk dalam sebuah rumah di Taman Impian Indah membongkar penemuan satu mayat dalam bagasi.
Sepasukan polis termasuk Unit Forensik telah hadir ke lokasi kejadian selepas menerima laporan pada jam 8.37 malam sebelum pemeriksaan mendapati satu mayat wanita di dalam bagasi di ruang tamu.