JAKARTA – Indonesia pada Isnin menafikan laporan bahawa dua kampung di Pulau Sebatik telah menjadi sebahagian dari Malaysia, dengan menyifatkan dakwaan itu sebagai salah faham terhadap isu persempadanan sempadan yang telah lama wujud antara kedua-dua negara, lapor Jakarta Globe.
Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian berkata, maklumat salah yang tersebar sejak beberapa minggu lalu telah menimbulkan tanggapan bahawa Indonesia kehilangan wilayah kedaulatan, sedangkan hanya sebahagian kecil tanah dalam dua kampung sempadan terlibat dalam pelarasan sempadan yang telah dipersetujui.
“Sebahagian laporan mengatakan dua kampung telah menjadi milik Malaysia. Itu tidak benar sama sekali,” katanya ketika sesi pendengaran di Parlimen di Jakarta.
Menurut beliau, kampung-kampung berkenaan kekal berada di bawah pentadbiran Indonesia, manakala hanya sebahagian kecil tanah terletak di sebelah Malaysia selepas pelarasan sempadan dilakukan.
Pada masa sama, Indonesia didakwa memperoleh kawasan lebih besar dalam pertukaran wilayah tersebut.
Tito yang juga mengetuai Agensi Pengurusan Sempadan Nasional Indonesia berkata, sekitar 127 hektar tanah kini berada dalam wilayah Malaysia, namun Indonesia memperoleh kira-kira 5,700 hektar kawasan di lokasi lain sebagai sebahagian daripada penyelesaian sama.
Beliau menegaskan persepsi bahawa Indonesia kehilangan dua kampung adalah tidak tepat kerana perubahan hanya melibatkan sebahagian kecil kawasan, bukannya keseluruhan penempatan.
Pulau Sebatik yang terletak di Kalimantan Utara merupakan antara kawasan unik di Asia Tenggara apabila sempadan antarabangsa memotong terus kawasan penempatan penduduk, termasuk rumah yang mempunyai ruang tamu di Indonesia tetapi dapur di Malaysia.
Kedua-dua kerajaan Indonesia dan Malaysia, menurut beliau, terus bekerjasama melalui mekanisme dua hala bagi menyelesaikan isu persempadanan yang masih belum dimuktamadkan bagi memastikan kepastian undang-undang kepada penduduk di kawasan sempadan.- Agensi