JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak mengesan sebarang trend kenaikan harga barang yang luar biasa meskipun ketidaktentuan geopolitik susulan konflik di Asia Barat masih berlarutan.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pemantauan berterusan terhadap harga barangan keperluan harian mendapati berlaku turun naik harga seperti biasa yang dipengaruhi pelbagai faktor, namun tiada peningkatan mendadak yang membimbangkan.
Katanya, perubahan harga lazimnya berpunca daripada faktor cuaca, produktiviti pengeluaran dan perubahan permintaan pasaran.
"Kita sentiasa memantau harga barang keperluan harian. Memang berlaku turun naik harga, tetapi ia disebabkan pelbagai faktor seperti cuaca dan produktiviti yang menjejaskan bekalan sekali gus mempengaruhi permintaan.
"Bagaimanapun setakat ini kita tidak mendapati sebarang trend kenaikan harga yang luar biasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja di SDS Food Manufacturing di Bukit Kempas di sini pada Selasa.
Menurut Fuziah, KPDN kini giat mengadakan libat urus dengan pihak pengeluar bagi menilai kesan ketidaktentuan geopolitik terhadap rantaian bekalan dan operasi pengeluaran.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan sebarang gangguan di peringkat pengeluaran tidak menjejaskan bekalan, serta tidak menyebabkan peningkatan harga yang akhirnya membebankan pengguna.
"KPDN juga bertanggungjawab untuk memastikan bahawa hak pengguna itu dilindungi. Jadi kita khuatir sekiranya ada kesan kepada operasi, mungkin ada kesan kepada harga dan kemudian ada kesan pula kepada kos sara hidup.
"Jadi kita melihat kepada kesan geopolitik itu di sepanjang rantaian bekalan sehinggalah dia sampai kepada pengguna. Jadi setakat ini kita berpuas hati bahawa tidak ada kesan ketara, tetapi kesan itu masih minimum kalau ikut daripada pengilang, dan tidak diturunkan kepada pengguna," katanya.
Dalam masa sama, Fuziah menggesa orang ramai supaya membuat laporan terus kepada KPDN sekiranya mengesan kenaikan harga yang tidak munasabah atau masalah kekurangan bekalan barang keperluan.
Katanya, tindakan segera itu membolehkan pegawai penguat kuasa melakukan pemeriksaan di lapangan dengan segera.
"Kalau didapati ada harga yang dirasakan luar biasa atau bekalan barang kawalan seperti gula dan minyak peket tiada di sesuatu premis, laporkan terus kepada KPDN.
"Jangan sekadar berkongsi di media sosial. Beritahu kepada KPDN lokasi premis berkenaan supaya pegawai kami dapat turun segera untuk membuat pemeriksaan dan tindakan jika perlu," katanya.