Kerajaan bawa pulang dua mangsa letupan bom Narathiwat, terima rawatan lanjut di Kelantan

Iklan
Rombongan pentadbiran dan ahli Majlis Perbandaran Bandar Sungai Golok melawat dua rakyat Malaysia yang cedera akibat letupan bom di Narathiwat, Thailand. Foto Majlis Perbandaran Bandar Sungai Golok

PUTRAJAYA – Kerajaan membawa pulang dua rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden letupan peranti letupan buatan sendiri (IED) di Narathiwat, Thailand untuk menerima rawatan lanjut di sebuah hospital di Kelantan.

Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan, kedua-dua mangsa dibenarkan keluar dari Hospital Naradhiwas Rajanagarindra selepas keadaan mereka stabil sebelum urusan kepulangan ke Malaysia diselaraskan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Iklan
Iklan

Menurut kementerian, pihak konsulat turut menyelaras dengan agensi berkaitan di Rantau Panjang bagi melancarkan proses pemeriksaan imigresen di sempadan Malaysia-Thailand.

"Setelah proses pemeriksaan selesai, kedua-dua mangsa dibawa dengan ambulans ke sebuah hospital di Kelantan untuk menerima rawatan lanjut," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Iklan

KLN berkata, kedua-dua mangsa diiringi pihak berkuasa tempatan Thailand dari Hospital Naradhiwas Rajanagarindra ke sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang bagi memastikan perjalanan pulang mereka berjalan lancar.

Keadaan Proton X50 rakyat Malaysia selepas terkena letupan bom di Narathiwat, Thailand. Foto media sosial

Iklan

Dalam pada itu, KLN merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand dan pihak berkuasa tempatan di Narathiwat atas bantuan serta kerjasama yang diberikan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang terlibat.

Menurut kenyataan itu, kementerian menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla akan terus memantau perkembangan kes berkenaan.

Kementerian turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan ke wilayah selatan Thailand supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Pada Isnin, media melaporkan dua rakyat Malaysia cedera selepas terkena letupan bom ketika berada di pekan Tak Bai, Narathiwat.

Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 11.41 pagi (waktu tempatan) memaksa laluan bermula dari Persimpangan Sapom hingga ke Kampung Saba Baharu, Daerah Tak Bai ditutup sepenuhnya bagi membolehkan Unit Pemusnah Bom (EOD) dan pasukan forensik menjalankan siasatan serta pemeriksaan terperinci di lokasi kejadian.