KUALA LUMPUR - Ruang yang sepatutnya dikhaskan sebagai kawasan bumbung bertukar menjadi 'rumah' apabila beberapa bilik kediaman haram dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Kes itu dikesan menerusi Op Sarang Burung yang digerakkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebanyak tiga lokasi di bangunan berasingan di sekitar Jalan Tun H S Lee diperiksa bermula kira-kira jam 10 pagi.
Sinar Harian yang berpeluang menyertai operasi itu difahamkan bahawa binaan bilik haram berkenaan terletak di atas bumbung (rooftop) bangunan tiga hingga empat tingkat.
Laluan setiap tingkat juga dipantau kamera litar tertutup (CCTV) selain keadaan laluan bertangga yang gelap. menggunakan pintu jerijil besi yang berkunci dan hanya boleh diakses individu tertentu.
Pemeriksaan JBPM di 'rooftop' bangunan terbabit mendapati terdapat binaan baharu selain beberapa struktur dipercayai dalam proses pengubahsuaian sebagai bilik.
Malah, ruang 'rooftop' berkenaan turut menempat tandas.
Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Ibu Pejabat JBPM, Datuk Norazam Khamis berkata, operasi itu dilaksanakan di bawah Operasi Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) dengan kerjasama agensi penguatkuasaan bagi memastikan premis mematuhi keperluan keselamatan kebakaran, sekali gus melindungi nyawa penghuni.
"Modus operandi pembinaan haram ini adalah sama iaitu dibina tanpa kelulusan pihak DBKL terutamanya.
"Kita mengesan binaan di 'rooftop' ini tidak sesuai dan tindakan sitaan ke atas tiga premis telah diambil dengan menyerahkan notis kepada pemilik premis agar tindakan perobohan diambil dalam tempoh tujuh hari.
"Jika gagal berbuat demikian, DBKL akan mengambil tindakan ke atas binaan haram terbabit," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini pada Selasa.
Turut hadir Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Hassan 'As'ari Omar.
Norazam berkata, terdapat 27 unit bilik di tiga premis terbabit telah dijadikan penginapan yang mana setiap bilik boleh didiami lebih dua penghuni.
Tambahnya, bilik itu juga didapati dijadikan tempat memasak yang merisikokan kepada kejadian kebakaran.
"Harga sewa bergantung kepada saiz bilik. Ada bilik yang dicaj RM400 dan paling murah RM200. Ini merupakan perangkap maut kerana material binaan menggunakan bahan mudah terbakar seperti 'plywood' dan bahan kayu.
"Saiz bilik dianggarkan berkeluasan 6x4 hingga 10x10 kaki persegi yang mana rata-rata penghuni merupakan warga asing," ujarnya.
Menurutnya, setiap premis dipercayai menempatkan individu yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia bilik penginapan terbabit.
Jelasnya, premis yang diubah suai tanpa kelulusan dan tidak mematuhi kehendak keselamatan kebakaran boleh menyebabkan penghuni terperangkap, menyukarkan operasi menyelamat dan meningkatkan risiko kematian apabila berlaku kebakaran.
Tindakan diambil mengikut Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).