GEORGE TOWN - Seorang pemandu treler didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan di Mahkamah Majistret 3 di sini pada Selasa.
D Bernice Thiviaraaj, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Said.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memandu kenderaan tersebut tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya kepada orang lain yang menggunakan jalan tersebut.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Udini Underpass pada jam 6.35 pagi, 15 Mei lalu.
Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 dan penjara tidak melebihi 12 bulan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Inspektor Joshua Peter Kandiah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah mengenakan denda yang minimum kerana dia kini tiada pekerjaan selain menanggung isteri dan seorang anak berusia enam bulan.
Nadratun kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap tertuduh dan jika gagal bayar, tertuduh boleh dikenakan penjara enam bulan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan lima kenderaan termasuk sebuah treler terlibat dalam kemalangan di bawah Terowong Udini, Jalan Masjid Negeri di Jelutong di sini dengan tiga daripadanya terbakar.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera atau maut dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 7 pagi tersebut.
Kenderaan yang terbakar ialah sebuah treler yang membawa muatan konkrit, van persiaran dan sebuah Proton S70 manakala Perodua Alza serta Chery Tiggo tidak terbakar.
Kebakaran melibatkan kemusnahan kira-kira 90 peratus pada kepala treler dan van persiaran sementara Proton S70 musnah kira-kira 95 peratus.
Akibat daripada kejadian itu, berlaku kesesakan teruk di beberapa kawasan antaranya Greenlane, Jalan Masjid Negeri dan Jalan Batu Lanchang berikutan ia merupakan laluan utama dan kejadian berlaku pada waktu pagi ketika orang ramai keluar bekerja.