'Ini sesuatu yang di luar jangkaan, kali pertama dalam pengalaman kami'

Iklan
Hisyam (tengah) ketika ditemui pemberita di Istana Kehakiman pada Selasa.

PUTRAJAYA - Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik menyifatkan penangguhan keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai sesuatu yang di luar jangkaan dan pertama kali berlaku sepanjang pengalamannya dalam bidang guaman.

Beliau berkata, situasi berkenaan amat tidak dijangka dan tidak pernah dialaminya dalam mana-mana prosiding mahkamah sebelum ini.

Iklan
Iklan

Terdahulu, keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq yang dijadualkan diputuskan pada Selasa ditangguhkan ke 13 Julai.

Panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais memaklumkan keputusan itu tidak dapat disampaikan selepas seorang lagi anggota panel, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, bercuti sakit selama dua hari.

Iklan

Selain Hisyam, Syed Saddiq turut diwakili peguam, Datuk S Ambiga dan Kee Wei Lon,

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 30 Jun untuk keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq bagi empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Iklan

 

Keputusan yang dinanti-nantikan itu akan menentukan sama ada bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 34 tahun tersebut kekal bebas atau kembali berdepan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Prosiding itu merupakan medan rayuan terakhir bagi pendakwaan dan Syed Saddiq.

Jika panel hakim membenarkan rayuan pendakwaan, bekas Ketua Armada Bersatu itu disabitkan semula atas empat pertuduhan dan dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023.

Sekiranya panel mengambil langkah berbeza dengan menolak rayuan itu, Syed Saddiq bakal menikmati pembebasan yang diputuskan Mahkamah Rayuan tahun lalu.