Hampir semua negeri terima peruntukan Persekutuan melebihi hasil cukai - PM

Iklan
Anwar ketika Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. FOTO: Bernama

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dakwaan kerajaan Persekutuan menganaktirikan negeri tertentu dalam penyaluran peruntukan adalah tidak berasas kerana kebanyakan negeri menerima peruntukan yang lebih tinggi berbanding purata hasil yang dikutip.

Beliau berkata, agihan peruntukan kerajaan Persekutuan dibuat berdasarkan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat termasuk pelaksanaan projek kritikal seperti tebatan banjir, infrastruktur asas, sekolah serta kemudahan awam,

Iklan
Iklan

Kata beliau, ia bukannya semata-mata mengikut jumlah hasil cukai yang disumbangkan sesebuah negeri.

“Semua negeri memperoleh peruntukan yang lebih berbanding sebelumnya dan juga berbanding purata hasil cukai, melainkan Selangor dan Pulau Pinang kerana kedua-dua negeri itu mempunyai kedudukan strategik yang menjana hasil lebih tinggi.

Iklan

“Kita mempertahankan keputusan ini berdasarkan keperluan yang besar termasuk projek tebatan banjir, menaik taraf lebuh raya, jalan baharu, kemudahan sekolah dan infrastruktur terutama bagi masyarakat miskin serta terpinggir,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai dakwaan bahawa peruntukan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri yang tidak adil dan tidak mencukupi berbanding hasil yang dikutip.

Iklan

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, bagi tempoh 2023 hingga 2025, Selangor menyumbang purata hasil cukai sebanyak RM43.6 bilion kepada kerajaan Persekutuan, namun menerima perbelanjaan Persekutuan sekitar RM15 bilion.

Menurutnya, Pulau Pinang pula merekodkan purata hasil RM10.7 bilion dengan perbelanjaan Persekutuan sebanyak RM7.9 bilion.

“Untuk Kelantan, purata hasil yang dikutip sekitar RM9.46 juta tetapi perbelanjaan Persekutuan berjumlah RM8.9 bilion.

“Kedah pula mencatat hasil sekitar RM3.7 bilion, namun menerima peruntukan RM9.5 bilion. Untuk Terengganu hasilnya 2.2 bilion hingga 2.4 bilion termasuk hasil petroleum yang dipulangkan kepada Persekutuan dan perbelanjaan Persekutuan ialah sebanyak RM7.8 bilion,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan juga meningkatkan beberapa bentuk pemberian kepada negeri termasuk Ecological Fiscal Transfer (EFT) dan Pemberian Mengikut Bilangan Orang atau ‘Capitation Grant’ sebagai usaha memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan negeri.

“Tuduhan bahawa negeri-negeri tertentu dianaktirikan atau dipinggirkan adalah tidak benar sama sekali.

“Kalau hendak dibandingkan, Kerajaan Madani memberikan peruntukan tertinggi kepada negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu berbanding pentadbiran sebelum ini,” kata beliau.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, kerajaan Persekutuan akan meneruskan rundingan dengan kerajaan Sarawak bagi meningkatkan kadar pemberian khas kepada negeri itu selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau menjelaskan, rundingan berhubung perkara itu sedang berlangsung antara Kementerian Kewangan dan kerajaan Sarawak serta dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Anwar turut menyifatkan penyerahan RM1.8 bilion oleh kerajaan Sarawak kepada kerajaan Persekutuan susulan pemindahan kuasa pengurusan Pelabuhan Bintulu sebagai satu rekod baharu yang mencerminkan hubungan erat serta kerjasama baik antara kedua-dua kerajaan.