BANGKOK - Seorang lelaki gelandangan ditahan polis selepas menyerang wanita warga Vietnam menggunakan pisau ‘cutter’ sebelum mengaku bertindak demikian kerana tidak menyukai orang gemuk.
Bangkok Post melaporkan sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian di Soi Silom 5 di sini, selepas menerima panggilan sekitar jam 11.30 pagi, Sabtu lalu.
Suspek berusia 30 tahun itu telah menyerang mangsa, Nguyen Thi Ngoc Tram, 29, sebelum melarikan diri.
Mangsa dihantar mendapatkan rawatan di sebuah hospital dan menerima 14 jahitan akibat kecederaan di lengan.
Polis yang menjalankan siasatan berjaya mengesan dan memberkas suspek hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Siasatan awal mendapati lelaki yang memiliki berat lebih 100 kilogram itu mengaku menyerang mangsa dan mendakwa tindakannya didorong oleh rasa kebenciannya terhadap individu berbadan gempal.
Pihak berkuasa kini sedang melengkapkan siasatan bagi mengenal pasti sama ada suspek mengalami masalah mental atau mempunyai rekod jenayah lampau, selain menyiasat motif sebenar serangan itu.