SATU siri gempa bumi kuat melanda beberapa kawasan di dunia dalam tempoh beberapa jam, menggegarkan komuniti dari California Utara hingga Jepun dan Venezuela, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada kejadian-kejadian itu saling berkaitan.
Namun, ahli seismologi menjelaskan bahawa kejadian tersebut hampir pasti hanyalah satu kebetulan.
Pada Rabu lalu, gempa bumi berkembar berukuran 7.2 dan 7.5 skala Richter menggegar pantai utara Venezuela mengakibatkan kemusnahan besar serta puluhan ribu dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan terdapat 42 peratus kebarangkalian bahawa jumlah kematian boleh mencecah antara 10,000 hingga 100,000 orang, bergantung pada tahap kemusnahan sebenar memandangkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dipergiatkan.
Sehari selepas itu, gegaran berkekuatan 6.9 skala Richter pula melanda perairan luar Iwate, kira-kira 42 kilometer (km) dari bandar pesisir Kuji pada kedalaman 50km.
Di Amerika Syarikat (AS), aktiviti seismik turut direkodkan di kawasan luar bandar California Utara yang mengalami gempa terkuat sejak 1940.
Gempa bermagnitud 5.6 itu berpusat kira-kira 12km dari barat laut Willits.
Pakar berpendapat kejadian gempa bumi yang berlaku hampir serentak itu bukan sesuatu yang luar biasa berdasarkan corak aktiviti seismik global.
Peter Stafford yang merupakan profesor kejuruteraan seismologi di Imperial College London memberitahu gempa tersebut tiada kaitan antara satu sama lain.
"California secara purata mengalami dua hingga tiga gempa seperti ini setiap tahun. Jepun pula menyaksikan gempa berskala sama kira-kira sekali setahun. Gempa kuat di Venezuela pula jauh lebih jarang berlaku iaitu dianggarkan setiap 50 hingga 100 tahun," ujarnya.
Tiada bukti jelas
Menurutnya lagi, gempa di setiap rantau adalah fenomena yang sememangnya dijangka berlaku dan ia berlaku pada masa yang hampir sama hanyalah satu kebetulan statistik.
Beliau turut mempersoalkan sama ada aktiviti seismik pada pertengahan minggu lalu benar-benar mempunyai kaitan antara satu sama lain kerana keadaan itu sepatutnya menyebabkan lebih banyak gempa bumi berlaku di sepanjang sesar yang menghubungkan kawasan-kawasan tersebut
Bagi meredakan kebimbangan orang ramai, saintis menyatakan bahawa tiada bukti jelas menunjukkan gempa bumi kuat semakin kerap berlaku.
Menurut USGS, perubahan aktiviti seismik dalam jangka pendek adalah perkara biasa dan tidak boleh dianggap sebagai petanda gempa bumi berukuran besar akan terjadi.
Bilangan gempa yang direkodkan katalog gempa bumi USGS ComCat menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Saintis bagaimanapun menjelaskan bahawa keadaan itu berpunca daripada kemajuan teknologi pengesanan dan bukannya peningkatan sebenar dalam aktiviti gempa.
Pusat Maklumat Gempa Bumi Kebangsaan (NEIC) kini mengesan kira-kira 20,000 gempa bumi di seluruh dunia pada setiap tahun bersamaan kira-kira 55 gempa sehari.
Rekod jangka panjang menunjukkan secara purata terdapat 16 gempa bumi besar (7.0 skala Richter atau lebih) setiap tahun. Namun begitu, jumlah itu dikatakan berubah-ubah. - Agensi
INFO
Menurut USGS, antara gempa bumi paling kuat yang pernah direkodkan dalam sejarah moden ialah:
1960 – Gempa Valdivia, Chile (9.5 skala Richter)
Gempa paling kuat ragut 1,655 nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.
1964 – Gempa Alaska (9.2 skala Richter)
Cetuskan tsunami besar yang menyebabkan 130 kematian dan kemusnahan cecah AS$2.3 bilion (RM9.52 bilion).
2004 – Gempa Sumatera-Andaman, Indonesia (9.1 skala Richter)
Hasilkan tsunami gergasi yang meragut lebih 280,000 nyawa dan menyebabkan 1.1 juta orang di Asia Selatan dan Afrika Timur hilang tempat tinggal.
2011 – Gempa Tohoku, Jepun (9.1 skala Richter)
Mengorbankan lebih 15,000 orang dan mencetuskan bencana nuklear di Fukushima.
1952 – Gempa Kamchatka, Rusia (9.0 skala Richter)
Cetus gelombang tsunami hingga ke Hawaii dan kebinasaan bernilai lebih AS$1 juta (RM4.14 juta).