MERAK Jalanan kesian dengan nasib yang menimpa seorang rakan baru-baru ini. Kerana masalah orang lain, dia terpaksa menanggung beban.
Ceritanya begini, rakan Merak Jalanan ada rumah di kampung yang disewakan kepada sebuah keluarga. Hampir empat tahun juga mereka menjadi penyewa dan sepanjang tempoh itu, tiada sebarang masalah.
Sewa dibayar tepat pada waktunya, bil utiliti dijelaskan seperti biasa. Pendek kata, hubungan antara tuan rumah dan penyewa berjalan dengan baik.
Namun, keadaan berubah dalam sekelip mata. Sewa rumah mula culas. Segala bil utiliti juga tertunggak.
Apabila diselidiki, rupa-rupanya rumah tangga penyewa sedang dilanda badai. Puncanya bukan kerana kesempitan hidup atau hilang pekerjaan, tetapi akibat sikap curang si suami dengan rakan sekerja sehingga rumah tangga mereka porak-peranda. Kerana nafsu, anak isteri pun terabai, apa lagi komitmen lain.
Pening tuan rumah, duit sewa tak dapat, orang lain senang-senang nak duduk 'free' buat maksiat. Bila dapat tahu, rakan Merak Jalanan minta dia keluar dari rumah itu, namun pelbagai alasan pula diberikan.
Tuan rumah juga mempunyai komitmen sendiri. Rumah yang disewakan itu masih perlu dibayar ansuran kepada bank setiap bulan.
Merak Jalanan percaya setiap orang ada ujian tersendiri. Namun, masalah peribadi tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab terhadap pihak lain. Apatah lagi apabila melibatkan hak orang lain.
Apabila seseorang gagal memegang amanah sebaiknya, bukan hanya seorang yang menanggung akibat, tetapi ramai yang terkena tempiasnya.