TANGGAL 29 Jun 2026 menjadi tarikh bersejarah buat pengguna pengangkutan awam di negara ini apabila sistem Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) atau Laluan Shah Alam yang dimulakan sejak 2017 akhirnya beroperasi.
Bermula dari Bandar Utama ke Johan Setia, 20 stesen bakal memanfaatkan dua juta penduduk di sekitar jajaran sejauh 37.8 kilometer (km), termasuk 2.5km laluan bawah tanah antara stesen Dato' Menteri dengan Stadium Shah Alam.
Ia dibangunkan bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas, dalam masa sama meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
Penulis pada Selasa lalu berkesempatan merasai pengalaman menaiki LRT3 atas jemputan eksklusif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk media terpilih bagi mendapatkan input tentang projek rangkaian rel bandar di koridor barat Lembah Klang itu.
Lebih menarik, pengamal media diberi peluang menaiki rel berkenaan seminggu sebelum orang awam datang ‘menyerbu’, termasuk upacara perasmian pembukaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Depoh LRT3 Johan Setia pada Ahad.
Riak wajah teruja sukar disembunyikan apabila kami dibawa meninjau dari stesen Stadium Shah Alam, singgah makan di hentian Jambatan Kota kemudian ke Johan Setia dan berpatah balik ke Glenmarie 2 yang menjadi stesen pertukaran ke Laluan Kelana Jaya.
Bercakap tentang singgah-menyinggah, ia membuka perspektif yang lebih luas dalam konteks projek ini bukan sekadar menyediakan infrastruktur dan menambah baik sistem pengangkutan awam.
Malah, ia berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi khususnya buat peniaga sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di sepanjang jajaran tersebut.
Bukan sahaja pengusaha di kedai makan kecil-kecilan, bahkan peniaga kerepek dan kuih-muih tradisional di sekitarnya.
Dapat disimpulkan projek infrastruktur strategik itu bakal mengubah landskap ekonomi setempat dan manfaatnya tidak hanya dirasai pengguna LRT3, tetapi juga membuka peluang baharu buat ribuan peniaga yang bergantung kepada kehadiran pelanggan secara fizikal.
Secara tradisinya, pembukaan stesen pengangkutan awam sering dikaitkan dengan peningkatan aktiviti komersial.
Aliran penumpang tinggi setiap hari mewujudkan permintaan terhadap perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), premis runcit, farmasi, kedai serbaneka dan lain-lain yang diperlukan pengguna ketika menempuh perjalanan, dalam konteks LRT3 memakan masa 70 minit sehala.
Bagi peniaga kecil, situasi itu memberi kelebihan besar kerana mereka tidak lagi bergantung kepada pelanggan tetap di sekeliling premis semata-mata.
Golongan tersebut sebaliknya berpeluang menarik pelanggan baharu daripada pelbagai lokasi yang menggunakan LRT3 sebagai mod pengangkutan harian.
Antaranya kawasan seperti Seksyen 7 Shah Alam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Stadium Shah Alam, Bukit Raja, Jambatan Kota, Pasar Klang dan Johan Setia yang diramal mengalami pertumbuhan aktiviti ekonomi lebih rancak berbanding sebelum ini.
Hartanah
Belum lagi menyentuh perihal pasaran hartanah komersial yang dijangka mendapat tempiasnya kerana kajian ekonomi menunjukkan nilai premis perniagaan berhampiran stesen pengangkutan awam cenderung meningkat susulan wujud permintaan tinggi.
Keadaan itu secara tidak langsung memanfaatkan pemilik premis dan usahawan yang berhasrat mengembangkan perniagaan.
Bagaimanapun tidak dinafikan wujud cabaran tertentu yang perlu dihadapi, termasuk persaingan lebih sengit apabila banyak perniagaan baharu muncul di sekitar stesen.
Tetapi dari sudut jangka panjang, pertambahan jumlah pengguna dan aktiviti ekonomi lebih banyak menyumbang kesan positif berbanding kebarangkalian risiko.
Apa yang penting, peniaga mesti bijak mengambil peluang dan menjadi lebih kreatif dalam menawarkan produk masing-masing demi menarik perhatian pengunjung.
*Aisyah Basaruddin ialah wartawan Sinar Harian