PERKONGSIAN kisah tular seorang warga emas berusia 65 tahun yang terpaksa kembali bekerja selepas wang simpanan KWSP sebanyak kira-kira RM400,000 habis digunakan dalam tempoh beberapa tahun, mengundang pelbagai reaksi.
Hakikatnya, ia bukan sekadar kisah seorang warga emas yang masih bekerja tetapi cerminan masa depan yang mungkin menanti ramai rakyat Malaysia.
Ketika muda, ramai beranggapan RM300,000 atau RM400,000 dalam akaun KWSP sudah cukup besar. Namun apabila memasuki usia persaraan, barulah disedari bahawa wang yang dikumpulkan selama puluhan tahun boleh susut dalam tempoh singkat. Belanja dapur, bil utiliti, ubat-ubatan, kos rawatan semuanya memerlukan wang.
Apa yang lebih membimbangkan, data KWSP sendiri menunjukkan majoriti ahlinya menghabiskan simpanan dalam tempoh kurang lima tahun selepas bersara. Ertinya, jika seseorang bersara pada usia 60 tahun, tidak mustahil pada usia 65 tahun mereka sudah mula bergelut mencari sumber pendapatan baharu.
Perkara itu turut dibangkitkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Negara apabila mengingatkan keadaan tersebut akhirnya memberi tekanan kepada kerajaan untuk menyediakan lebih banyak perlindungan sosial kepada warga emas.
Walaupun pencapaian simpanan asas KWSP meningkat kepada 38.3 peratus setakat Julai 2025, masih ramai yang belum benar-benar bersedia menghadapi hari tua. Cabaran sebenar bukan sekadar memiliki simpanan, tetapi memastikan simpanan itu mampu bertahan sepanjang hayat.
Situasi ini beri peringatan pada kita bahawa hari tua tidak bermula pada usia 60 tahun, tetapi bermula dengan keputusan yang dibuat ketika masih muda.
Kita semua akan menua. Semua pastinya mahu hidup menua dengan tenang, bukan dalam kebimbangan memikirkan bagaimana mahu meneruskan hidup pada keesokan harinya.