KUALA LUMPUR – Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani Dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Malaysia menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan cadangan penstrukturan semula Gred 1 hingga Gred 5 bagi memastikan laluan kerjaya kumpulan pelaksana lebih adil dan relevan.
Presiden AUEGCAS Malaysia, Hazani Hamzah berkata, gesaan itu dibuat susulan sesi pertemuan bersama JPA pada 15 April lalu yang menyaksikan kesatuan membentangkan secara terperinci cadangan serta kaedah pelaksanaan pertukaran dan penstrukturan semula gred berkenaan.
Menurutnya, cadangan tersebut penting bagi memastikan kebajikan serta prospek kemajuan kerjaya kumpulan pelaksana terus dipelihara mengikut keperluan semasa perkhidmatan awam.
"Kami berharap JPA memberi perhatian serius terhadap cadangan yang telah dikemukakan.
"Penstrukturan gred ini amat penting bagi memastikan kumpulan pelaksana memperoleh laluan kerjaya yang lebih tersusun, adil dan selaras dengan perubahan dalam perkhidmatan awam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, AUEGCAS turut berharap JPA dapat mempercepatkan proses penilaian sebelum mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan berkaitan dalam masa terdekat.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kaedah pertukaran gred baharu dapat dilaksanakan sepenuhnya menjelang Januari 2027.
Dalam perkembangan sama, Hazani berkata, AUEGCAS menyokong pelaksanaan hari bekerja hibrid kerana diyakini mampu meningkatkan kesejahteraan penjawat awam tanpa menjejaskan produktiviti.
Beliau berkata, AUEGCAS akan terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memperjuangkan kebajikan penjawat awam serta memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam negara.
.