SHAH ALAM – Kos penjagaan kesihatan swasta tidak boleh terus meningkat tanpa kawalan sehingga memberi tekanan lebih besar kepada hospital awam yang semakin menjadi pilihan rakyat untuk mendapatkan rawatan.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib bahawa hospital awam tidak mampu menampung keperluan penjagaan kesihatan Malaysia secara bersendirian menekankan keperluan kepada sistem penjagaan kesihatan yang mampan, melibatkan sektor awam dan swasta.
"Namun, perkara ini tidak boleh dijadikan alasan oleh hospital swasta dan penyedia insurans perubatan untuk menaikkan caj atau premium tanpa justifikasi yang munasabah.
"Apabila kos penjagaan kesihatan swasta yang semakin meningkat memaksa lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan rawatan dan pembedahan di hospital kerajaan, tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan awam akan terus bertambah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui hospital awam di negara ini tidak boleh menanggung keseluruhan permintaan perkhidmatan kesihatan secara tunggal.
Dalam pada itu, Hang Soon berkata, penyedia perkhidmatan kesihatan swasta memainkan peranan penting dalam menyokong kapasiti penjagaan kesihatan negara, namun sistem penjagaan kesihatan mesti kekal berteraskan kepentingan pesakit.
Beliau berkata, pertimbangan keuntungan tidak boleh mengatasi aspek kemampuan, ketelusan dan akses kepada rawatan.
"Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini telah membangkitkan kebimbangan berhubung caj tersembunyi yang dikenakan oleh sesetengah hospital swasta.
"Ia termasuk bayaran tambahan bagi barangan asas seperti kapas beralkohol, sarung bantal dan beg plastik untuk tong sampah iaitu barangan yang sewajarnya dianggap sebagai sebahagian daripada caj bilik dan perkhidmatan standard.
"Amalan sedemikian menimbulkan persoalan serius mengenai keadilan dan ketelusan. Pesakit tidak sepatutnya dibebankan dengan caj yang tidak jelas atau tidak dijangka, lebih-lebih lagi ketika mereka mendapatkan rawatan dalam keadaan yang mencabar dan terdedah," katanya.
Justeru Hang Soon berkata, KKM memerlukan sokongan serta sumber yang lebih kukuh dalam keadaan semakin ramai rakyat Malaysia bergantung kepada hospital kerajaan berikutan peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan premium insurans perubatan,
Beliau berkata, sebagai kementerian yang menguruskan sektor kritikal, KKM perlu diperkasakan bagi menangani peningkatan permintaan terhadap rawatan perubatan, perkhidmatan pakar, kemudahan hospital dan tenaga kerja kesihatan.
"Kementerian Kewangan juga perlu terus memperkukuh pelaburan dalam sektor kesihatan. Dalam Belanjawan 2025, KKM menerima peruntukan sebanyak RM45.3 bilion, manakala Belanjawan 2026 meningkatkan jumlah itu kepada RM46.5 bilion seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan di Dewan Rakyat.
"Walaupun peningkatan peruntukan itu dialu-alukan, pelaburan yang lebih besar masih diperlukan untuk menaik taraf hospital, menambah baik kemudahan, memodenkan peralatan, mengekalkan tenaga profesional kesihatan serta mengurangkan tempoh menunggu pesakit.
"Sistem penjagaan kesihatan yang mampan memerlukan tanggungjawab bersama. Kerajaan tidak boleh mengharapkan hospital awam terus menyerap peningkatan permintaan secara berterusan sedangkan kos penjagaan kesihatan swasta terus melonjak tanpa kawalan," katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan beberapa perkara antaranya memperkukuh kawal selia terhadap caj penjagaan kesihatan swasta dengan mewajibkan pecahan kos yang lebih jelas dan telus sebelum rawatan dimulakan.
Katanya, kerajaan juga perlu menilai semula kenaikan premium insurans perubatan, memperketat pemantauan terhadap amalan pengebilan hospital, memperluas kerjasama sektor awam dan swasta serta meningkatkan pelaburan dalam penjagaan kesihatan pencegahan dan perkhidmatan penjagaan primer.
"Penjagaan kesihatan tidak sepatutnya menjadi bidang yang memaksa pesakit memilih antara kesukaran kewangan dengan mendapatkan rawatan diperlukan.
"Kedua-dua sektor awam dan swasta mempunyai peranan masing-masing, namun kemampuan, ketelusan, akauntabiliti dan kebajikan pesakit mesti terus menjadi teras sistem penjagaan kesihatan Malaysia," katanya.