MCMC rampas 6,916 peranti komunikasi tidak diperakui bernilai RM2.06 juta

Iklan
Hasil kerjasama strategik antara MCMC dengan SIRIM QAS International Sdn Bhd, Op V380 yang dilaksanakan baru-baru ini di Klang dan Johor Bahru berjaya menyita sebanyak 6,916 unit kelengkapan komunikasi tidak diperakui bernilai RM2.06 juta.

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merampas 6,916 unit peranti komunikasi termasuk kamera litar tertutup tanpa wayar (CCTV) yang disyaki tidak memenuhi piawaian teknikal ditetapkan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.06 juta.

Menerusi kenyataan, MCMC memaklumkan serbuan secara serentak telah dilaksanakan pada 24 Jun lalu dengan kekuatan 44 pegawai di dua lokasi iaitu sebuah gudang penyimpanan di Klang, Selangor serta sebuah premis yang dijadikan pejabat urusan dan studio siaran langsung di Johor Bahru, Johor.

Iklan
Iklan

"Antara kelengkapan komunikasi yang disita ialah wireless CCTV. Turut disita bagi membantu siasatan ialah komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi (WiFi router)," katanya pada Isnin.

Sebanyak 6,916 unit kelengkapan komunikasi tidak diperakui bernilai RM2.06 juta disita pihak berkuasa.

Iklan

Ujar MCMC, siasatan awal mendapati, kelengkapan komunikasi berkenaan ditawarkan dan dijual melalui platform e-dagang, termasuk TikTok Shop dan Shopee.

"Op V380 dilaksanakan hasil maklumat risikan menerusi kerjasama strategik antara MCMC dengan SIRIM QAS International Sdn Bhd selaku agensi pemerakuan berdaftar.

Iklan

"Seramai lapan individu termasuk pengurus syarikat, pembantu gudang dan hos siaran langsung telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

"Penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal yang ditetapkan," jelasnya.

Menurut suruhanjaya itu, selain berpotensi menjejaskan prestasi dan kebolehpercayaan peranti, penggunaannya juga boleh menyebabkan gangguan kepada rangkaian komunikasi serta menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi.

Kes disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.