PETALING JAYA – LBS Foundation (LBSF), sayap tanggungjawab sosial korporat (CSR) LBS Bina Group Berhad (LBS), melancarkan inisiatif Project AKAR by LBS Foundation menerusi kerjasama strategik bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Sungei Way sebagai usaha memperkukuh pembangunan pendidikan dan kesejahteraan generasi masa depan.
Program yang berlangsung pada 25 Jun lalu itu menyaksikan SK Sungei Way dipilih sebagai sekolah angkat pertama di bawah Project AKAR, sekali gus menandakan permulaan kepada inisiatif jangka panjang yang akan dilaksanakan oleh LBS Foundation.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADUN) Seri Setia merangkap Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, serta dihadiri Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah LBS Foundation, Tan Sri Datuk Seri Ir. (Dr.) Lim Hock San, selain pihak pengurusan sekolah, guru dan pelajar.
Majlis turut diserikan dengan simbolik penanaman pokok oleh kedua-dua pemimpin sebagai lambang komitmen bersama terhadap pemeliharaan alam sekitar, di samping menyemai nilai kesejahteraan serta pembangunan generasi akan datang.
Project AKAR yang membawa maksud Awareness (Kesedaran), Knowledge (Pengetahuan), Actions (Tindakan) dan Resilience (Ketahanan) merupakan program pembangunan komuniti berteraskan pendidikan yang dirangka untuk memperkasakan generasi muda melalui konsep sekolah angkat.
Di bawah pelaksanaan program itu, LBS Foundation akan memilih sebuah sekolah bagi setiap kitaran tiga tahun dengan memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu penambahbaikan infrastruktur, peningkatan pembelajaran serta amalan kelestarian bagi mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif.
Seiring dengan fokus terhadap pembangunan pendidikan, LBS Foundation turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada SK Sungei Way termasuk penyediaan alat tulis dan kelengkapan persekolahan kepada pelajar, selain melaksanakan kerja-kerja pembaikan infrastruktur seperti pintu serta penghadang tangga bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan warga sekolah.
Hock San berkata, pihaknya percaya perubahan yang memberi impak besar kepada masyarakat perlu bermula daripada komuniti, khususnya melalui pendidikan.
"Kami percaya bahawa perubahan yang bermakna bermula di peringkat komuniti, khususnya melalui pendidikan. AKAR melambangkan kanak-kanak sebagai asas yang menjadi tunjang kepada masa depan negara.
"Project AKAR mencerminkan komitmen kami dalam membentuk dan memperkasa generasi muda serta menyediakan peluang yang melangkaui bilik darjah agar setiap pelajar memperoleh sokongan dan persekitaran terbaik untuk berkembang serta mencapai potensi sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, Dr Mohammad Fahmi menyifatkan pelaksanaan Project AKAR sebagai satu inisiatif yang amat bermakna dan berimpak tinggi dalam membantu pembangunan komuniti menerusi pendidikan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada LBS Foundation atas komitmen yang ditunjukkan serta berharap lebih banyak kerjasama strategik dapat diwujudkan antara sektor korporat dan institusi pendidikan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, LBS Foundation merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan inisiatif berkenaan dan menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha mewujudkan impak sosial yang positif serta mampan kepada komuniti.
Ditubuhkan pada tahun 2015, LBS Foundation merupakan sayap tanggungjawab sosial korporat LBS Bina Group Berhad yang memfokuskan empat teras utama iaitu Kesihatan, Pendidikan, Alam Sekitar dan Komuniti.
Menerusi pelbagai program berasaskan komuniti dan kerjasama strategik, yayasan itu terus memainkan peranan dalam memperkasa golongan memerlukan, meningkatkan kesejahteraan sosial serta membina komuniti yang lebih inklusif, berdaya tahan dan harmoni.
Untuk makluman lanjut mengenai LBS Foundation serta pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, sila layari laman web rasmi https://lbs.com.my/lbs-foundation/ atau ikuti LBS Foundation di platform Instagram dan Facebook.