JELI - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh agenda pemerkasaan pendidikan teknikal dan pembangunan komuniti apabila mengisytiharkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas di sini sebagai sekolah angkat mereka.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Ts Dr Zaliman Sauli berkata, pengisytiharan tersebut membuktikan komitmen jangka panjang universiti dalam membimbing generasi muda melalui pelbagai program akademik, teknikal dan latihan vokasional (TVET); sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM); pembangunan bakat serta pendedahan awal kepada pendidikan tinggi.
“UniMAP menyambut baik hasrat pihak sekolah untuk menubuhkan makmal UniMAP@AyerLanas atau advanced learning (AL) yang bakal menjadi platform pembelajaran yang memberi pendedahan kepada pelajar, khususnya Tingkatan Enam, dalam bidang STEM, TVET, teknologi dan inovasi.
“Kami percaya inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat muda, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan strategik antara universiti dan sekolah dalam melahirkan generasi yang bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penutup Program TVET Komuniti: Transformasi TVET ke Arah Inovasi Ekonomi Belia dan Suri Ayer Lanas di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ir Ts Dr Shahriman Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah; Pengetua SMK Ayer Lanas, Norhisham Awang Noh serta warga universiti, guru-guru dan komuniti setempat.
Tambahnya, Program TVET Komuniti yang berlangsung selama dua hari itu merupakan manifestasi komitmen UniMAP menerusi inisiatif UniMAP4Society yang membawa kepakaran universiti terus kepada masyarakat melalui pendekatan Service Learning Malaysia – University for Society.
"Program ini selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026 hingga 2035 yang memberi penekanan kepada pembangunan pembelajaran berteraskan nilai kemanusiaan, keusahawanan dan kemampuan menyesuaikan diri dengan keperluan semasa.
“Seramai 250 pelajar Tingkatan Empat, Lima dan Enam SMK Ayer Lanas menyertai program STEM, manakala 20 pelajar mengikuti Program Mechanics on Wheel yang memberi pendedahan kepada kemahiran asas penyelenggaraan motosikal," katanya.
Katanya lagi, sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti berteraskan TVET, STEM, tenaga hijau dan keusahawanan telah dilaksanakan melibatkan komuniti setempat.
“Program tersebut dilaksanakan melalui tiga kluster utama iaitu TVET Automotif, Inovasi Tenaga Hijau atau Solar dan Teknologi Kulinari Silang Budaya yang dirangka bagi memperkasakan kemahiran komuniti, membuka peluang keusahawanan serta menyokong pembangunan ekonomi setempat.
“Menerusi program Sinar Suria Desa @ Ayer Lanas pula sebanyak 15 unit lampu solar berjaya dipasang di beberapa lokasi strategik termasuk SMK Ayer Lanas, Padang Kolam dan sebuah madrasah berhampiran bagi meningkatkan kemudahan awam menggunakan teknologi tenaga hijau,” katanya.
Selain itu, program TVET Komuniti ini turut dimeriahkan dengan Kenduri Rakyat dan Silang Budaya yang menghimpunkan kira-kira 500 penduduk sekitar Ayer Lanas, sekali gus mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti.
Mengulas mengenai kepentingan TVET, Prof Dr Zaliman berkata, bidang tersebut kini menjadi antara pemacu utama pembangunan negara dengan kadar kebolehpasaran lepasan TVET Malaysia mencecah 95.9 peratus, sekali gus membuktikan keyakinan industri terhadap graduan berkemahiran tinggi.
“UniMAP sendiri terus mencatatkan prestasi cemerlang apabila merekodkan 99.4 peratus kadar kebolehpasaran graduan berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan 2025 selain menerima Anugerah Kadar Graduan Pilihan Syarikat Multinasional Tertinggi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi bagi dua tahun berturut-turut pada 2024 dan 2025.
Pencapaian ini membuktikan bahawa UniMAP bukan sahaja melahirkan graduan cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kompetensi, kemahiran teknikal, nilai profesional dan kebolehsuaian yang memenuhi kehendak industri.
"Saya berharap lebih ramai anak-anak Ayer Lanas akan menjadikan TVET, STEM dan teknologi sebagai pilihan masa depan, seterusnya memilih UniMAP sebagai destinasi pengajian tinggi bagi membina kerjaya yang berdaya saing di peringkat global," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa peranan universiti pada hari ini bukan sekadar melahirkan graduan, sebaliknya menjadi institusi yang memindahkan ilmu, teknologi dan kepakaran kepada masyarakat demi meningkatkan kesejahteraan serta pembangunan sosioekonomi komuniti.