KOTA BHARU - Dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan jenis utiliti sukan (suv) Proton X50 yang dinaiki terkena letupan bom berhampiran Mukim Phrai Wan, Daerah Tak Bai, Wilayah Narathiwat, Thailand pada Isnin.
Kejadian terbabit dipercayai berlaku kira-kira jam 11.41 pagi (waktu tempatan).
Akibat letupan tersebut, dua lelaki berkenaan dikatakan mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital berhampiran oleh pihak berkuasa untuk mendapatkan rawatan.
Ketika ini dimaklumkan pihak berkuasa sedang mengawal kawasan kejadian serta menjalankan pemeriksaan di lokasi letupan.
Laluan di kawasan berkenaan ditutup sepenuhnya, bermula dari Persimpangan Sapom hingga ke Kampung Saba Baharu, Daerah Tak Bai, bagi membolehkan Unit Pemusnah Bom (EOD) dan pasukan forensik menjalankan siasatan serta pemeriksaan terperinci di lokasi kejadian.
Sementara itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
"Saya nasihatkan orang ramai agar menangguhkan seketika perjalanan ke Thailand," katanya.