Angka kematian gempa bumi Venezuela cecah 1,450

Iklan
Ribuan masih dipercayai terperangkap di bawah runtuhan, menurut Presiden Dewan Negara Jorge Rodríguez, lapor agensi berita Jerman dpa. Foto: Agensi

MEXICO CITY - Jumlah kematian akibat gempa bumi berkembar di Venezuela meningkat kepada sekurang-kurangnya 1,450 dengan lebih 3,200 orang cedera, kata pihak berkuasa pada Ahad.

Ribuan masih dipercayai terperangkap di bawah runtuhan, menurut Presiden Dewan Negara Jorge Rodríguez, lapor agensi berita Jerman dpa.

Iklan
Iklan

Harapan untuk mencari mangsa yang terselamat semakin pudar dengan setiap jam yang berlalu, walaupun ribuan pekerja penyelamat dari Venezuela dan 24 negara lain terus menjalankan operasi itu.

Kemusnahan paling teruk dilaporkan berlaku di negeri pantai La Guaira dan di ibu negara, Caracas, di mana keseluruhan blok bangunan tinggi ranap.

Iklan

Kira-kira 30,000 pekerja kecemasan Venezuela dan 2,700 pakar penyelamat dari luar negara telah dikerahkan untuk mencari mangsa yang terselamat.

Pakar memberi amaran tempoh masa kritikal untuk mencari mangsa yang terselamat semakin mengecil secara mendadak selepas 72 jam, menimbulkan kebimbangan bahawa masa semakin suntuk bagi mereka yang masih tertimbus di bawah puing.

Iklan

Lebih 2,500 bangunan kediaman dan kemudahan lain runtuh sepenuhnya atau rosak teruk, termasuk kira-kira 780 rumah dan 38 hospital, menurut penilaian kerosakan terkini. - Bernama-dpa